Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cuepacs harap Bernama tak tangguh carum KWSP pekerja

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berharap Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) tidak menangguhkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk kakitangannya.

“Cuepacs harap majikan faham bahawa ini satu kesalahan dan ia juga satu ketidakadilan kepada pekerja. Kita mahu pekerja-pekerja dilindungi sepenuhnya melalui perlindungan yang disediakan oleh kerajaan.

“Caruman KWSP wajib dan kita harap pembayaran tersebut tidak ditangguh kerana hak pekerja tidak boleh dinafikan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pengurusan Bernama berhubung kekangan kewangan agensi berita nasional itu yang bakal menjejaskan pekerjanya.

Pada 9 Ogos lalu, Malaysiakini melaporkan pengurus kanan akaun dan kewangan Bernama, Syarifah Zaini Syed Zain berkata agensi itu berdepan masalah kewangan kerana belum menerima geran daripada kerajaan.

Bercakap di depan kira-kira 100 pekerja Bernama, Syarifah Zaini berkata kekangan itu menyebabkan gaji pekerja terpaksa dibayar menggunakan wang potongan untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) - menyebabkan caruman tidak dapat dibuat - dan menjejaskan bayaran pinjaman kereta bagi pekerja yang membuatnya melalui potongan gaji bulanan.

Syarifah Zaini berkata Bernama telah meminta Kementerian Kewangan menjelaskan mengenai kelewatan dalam membayar geran suku ketiga yang menurutnya lazimnya dibuat tepat pada waktunya sebelum pembayaran gaji.

CEO Bernama Nurini Kasim pula berkata kerajaan kini berdepan kekangan kewangan yang menyebabkan masalah itu.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan telah menyanggah kenyataan pengurusan Bernama berhubung kekangan kewangan agensi berita nasional itu yang bakal menjejaskan pekerjanya.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, kerajaan sentiasa memberi peruntukan mencukupi untuk pembayaran gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berkenaan kelewatan pembayaran geran, Lim mempersoalkan kenyataan Syarifah Zaini kerana menurutnya "satu dakwaan serius memandangkan fakta menunjukkan sebaliknya".

Beliau mempersoal sama ada wang yang diperuntukkan untuk bayaran emolumen, gaji dan caruman KWSP "dialihkan" pihak pengurusan Bernama untuk tujuan pembayaran lain.

Jelasnya, Kementerian Kewangan telah diarahkan untuk menyiasat pihak yang menyekat bayaran sumbangan KWSP agar tindakan sewajarnya boleh diambil.

Lihat Komen
ADS