Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lynas 'menang', rakyat terima najis toksik - Fuziah
Diterbitkan:  Aug 16, 2019 10:09 AM
Dikemaskini: 2:09 AM

Syarat baru ke atas Lynas bermakna rakyat akan tanggung risiko terdedah kepada sisa radioaktif selama empat tahun lagi, kata anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

"Malaysia terpaksa menerima najis toksik dari Lynas. Lynaslah yang menjadi pemenang dengan syarat baru ini. Juga syarikat-syarikat pembekal kepada Lynas akan mendapat keuntungan sedangkan rakyat dan alam sekitar terus menanggung risiko kesihatan dan pencemaran.

"Saya kesal kerana kesilapan kerajaan terdahulu yang tertipu dengan Lynas dan percaya bahawa industri nadir bumi membawa keuntungan kepada negara tanpa memahami bahawa ada sisa radioaktif yang akan dijana dari kilang tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Fuziah Lynas tidak sepatutnya dibenarkan beroperasi pada tahun 2012 tanpa pelan pengurusan sisa radioaktif WLP (Water Leach Purification) yang kekal.

"Kegilaan apakah yang kerajaan terdahulu lakukan apabila mempercayai bahawa sisa radioaktif WLP boleh dibenarkan untuk dikitar semula dalam bentuk condisoil.

"Saya juga kesal walaupun Lynas kononnya menandatangani surat perjanjian mengeluarkan sisa WLP mereka dari Malaysia, namun tiada usaha sungguh-sungguh dilakukan oleh Lynas dan kerajaan terdahulu untuk menjadikan ia satu realiti," katanya.

Semalam kerajaan dilapor telah memperbaharui lesen operasi kilang nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng selama enam bulan, dengan beberapa syarat agar kilang itu 'mengekang' pengeluaran sisa radioaktif dalam masa empat tahun.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dalam kenyataan berkata, lesen operasi itu - yang dijadual tamat bulan depan - dilanjutkan berdasarkan keputusan mesyuarat kabinet.

Antara syarat yang ditetapkan ialah Lynas perlu mengemukakan rancangan pembinaan kemudahan operasi memproses sisa radioaktif, dipanggil 'cracking and leaching', di luar negara agar proses itu dikeluarkan dari Malaysia.

"Sementara itu warga Kuantan dipaksa terima hakikat sisa radioaktif WLP Lynas yang akan mencecah satu juta ton akan dilupuskan di Pahang.

"Kerajaan negeri yang sama telah bersekongkol dengan kerajaan terdahulu dalam membenarkan operasi Lynas," katanya.

Kata Fuziah, kabinet terpaksa membenarkan Lynas terus beroperasi dan memilih option yang ada atas 'sebab-sebab tertentu'.

"Dalam hal ini saya bersolidariti bersama warga Kuantan di dalam menanggung risiko kesihatan dan pencemaran kepada alam sekitar akibat dari keadaan itu," kata Fuziah.

Lihat Komen
ADS