Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masyarakat Siam di Kelantan bangga raikan Hari Kebangsaan

Jika didengar lenggok gaya pertuturan, tiada siapa yang menyangka pemuda berusia 23 dari Rantau Panjang ini bukan berbangsa Melayu walaupun loghat yang digunakan persis loghat masyarakat Melayu Kelantan.

Nang Ruen Tin sebenarnya dari kalangan masyarakat berketurunan Siam yang telah lama menyatu dan berasimilasi dengan masyarakat Melayu Kelantan sejak sebelum merdeka terutamanya dari segi pertuturan tanpa menghilangkan budaya dan tradisi nenek moyang mereka.

"Masyarakat Kelantan hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum yang berkongsi cara hidup, loghat percakapan dalam dialek Kelantan dan saling menghormati fahaman agama masing-masing.

"Pada sambutan Hari Kebangsaan sebegini menjadi salah satu contoh supaya hubungan baik diteruskan menerusi aktiviti pelbagai kaum dan generasi muda harus diberi pendedahan mengenai sejarah dan semangat kemerdekaan itu," katanya kepada Bernama.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan masyarakat keturunan Siam di Kelantan turut bersemangat memasang bendera Jalur Gemilang di rumah mereka.

Wareen Chua Rui Yin, 16, dari Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu berkata beliau bersyukur kerana sebaik lahir di daerah ini , hidup di kampung dengan penuh kemakmuran bersama kaum lain menjadikan hubungan mereka sangat erat.

"Sebaik sahaja masuk bulan Ogos, biasanya keluarga saya akan beli dan hias Jalur Gemilang di rumah dan di pagar rumah.

"Masih ramai dalam kalangan penduduk yang kurang menyedari untuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan premis kedai, jadi keluarga kami mengambil kesempatan untuk memulakan usaha semangat Merdeka di rumah kami," katanya.

Tong Swee Gim, 57, pula berkata sejak kecil bersemangat menyambut Hari Kebangsaan.

"Waktu kecil, saya kibarkan Jalur Gemilang di basikal, yang mana pada waktu petang balik dari sekolah, saya bersama rakan lain menghias basikal masing-masing dengan Jalur Gemilang dan apabila kami tunggang basikal, semangat pahlawan dan cintakan negara disemai dari situ," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS