Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelaburan di N Sembilan meningkat kepada RM2.86b

Jumlah pelaburan di Negeri Sembilan telah meningkat kepada RM2.86 bilion pada tahun lepas berbanding RM1.41 bilion pada tahun sebelumnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ampangan berkata jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 103 peratus.

"Ini berlaku selepas kerajaan baharu Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dan pusat pada tahun lepas.

"Secara purata sebelum ini di bawah pentadbiran (kerajaan) dahulu, pelaburan di Negeri Sembilan hanya sekitar RM1 bilion setahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat mengenai pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ampangan dan pembangunan projek mega Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ampangan di sini pada Jumaat.

Mohamad Rafie juga berharap peningkatan pelaburan itu akan menambah peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat negeri itu khususnya golongan muda.

Mengulas sesi taklimat itu, beliau berkata ia bagi memaklumkan pemimpin akar umbi iaitu keseluruhan AJK MPKK dan KRT mengenai pembangunan yang dirancang dan telah dilaksanakan, khususnya dalam DUN Ampangan dan MVV 2.0 yang meliputi Seremban dan Port Dickson.

- Bernama   

Lihat Komen
ADS