Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kula takkan mohon maaf, sedia berdepan saman Zakir
Diterbitkan:  Aug 17, 2019 2:37 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran enggan meminta maaf kepada pendakwah Dr Zakir Naik, walaupun notis undang-undang diberikan kepadanya untuk berbuat demikian atas dakwaan memfitnah.

Kulasegaran, yang berada di Jepun atas urusan rasmi, berkata Zakir tidak perlu menunggu jawapan balasan dan boleh memulakan prosiding undang-undang terhadapnya.

"Dia harus menasihati peguamnya untuk memfailkan prosiding, jika dia serius, kerana saya serius dalam memperjuangkan perkara ini, walau apa pun yang berlaku.

"Yakinlah saya tidak akan tunduk dan melarikan diri ke negara lain untuk mendapatkan perlindungan.

"Sebaik tugas selesai, saya akan kembali ke tanah air saya dan mempertahankan tuduhan yang tidak berasas terhadap saya tanpa rasa takut.

"Saya mengalu-alukan peluang untuk menentang sentimen kebencian dan anti-rakyat Malaysia bagi pihak orang yang mengundi saya dan yang bergantung kepada saya untuk melindungi negara ini," kata menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam surat tuntutan yang dihantar ke pejabat Kulasegaran semalam, menteri itu didakwa memfitnah Zakir dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 13 Ogos.

Kula dalam kenyataan akhbar tersebut mengkritik ucapan pendakwah itu ketika satu majlis di Kelantan.

Antara lain, Zakir berkata rakyat Malaysia yang berasal dari India "menyokong perdana menteri India tetapi bukan perdana menteri Malaysia" dan "rakyat Malaysia beragama Hindu, kebanyakannya menyokong perdana menteri India".

Peguam Zakir Akberdin Abdul Kader berkata Kulasegaran dalam kenyataan akhbar itu menyifatkan anak guamnya sebagai orang yang tidak jujur yang akan menyalahgunakan agama Islam untuk kepentingan diri sendiri dan secara tidak jujur menuduh rakyat Malaysia beragama Hindu tidak setia kepada negara ini.

Lihat Komen
ADS