Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSM: Jangan mobilisasi berdasarkan kaum, agama
Diterbitkan:  Aug 17, 2019 5:08 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Parti Sosialis Malaysia menggesa rakyat negara ini supaya tidak mendukung agenda perjuangan yang berdasarkan kaum atau agama.

"Adalah pendapat kami bahawa semua pihak mengambil satu langkah ke belakang dengan tidak meneruskan sebarang mobilisasi berwajah satu etnik atau satu agama kerana tindakan ini tidak akan membawa apa-apa yang baik untuk masa depan Malaysia.

"Mobilisasi satu kumpulan etnik dan agama hanya akan mendorong orang menyerang satu sama lain sebagai rasis.

"Ini akan terus melebarkan jurang perkauman dan mengancam keamanan yang sedia ada. PSM tidak menggalakkan ahli-ahlinya untuk mengambil bahagian dalam mobilisasi satu etnik atau agama ini," kata Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan dalam suatu kenyataan hari ini.

Beberapa minggu kebelakangan ini tercetus isu-isu yang memisahkan masyarakat, termasuk pendakwah Dr Zakir Naik yang dituduh membuat ucapan berbaur perkauman, perdebatan sengit mengenai cadangan pengenalan tulisan Jawi untuk sekolah vernakular dan rancangan meminda undang-undang Selangor untuk membenarkan penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara sepihak.

Dalam suasana politik sebegini, pembantu MP DAP, Syahredzan Johan malah menerima ancaman bunuh pada malam Rabu lalu, selepas menggesa status penduduk tetap Zakir Naik untuk dibatalkan.

"Sebaliknya, juara sebenar adalah mereka yang berjaya menggerakkan semua kaum dan kumpulan agama dalam satu perhimpunan bersama menuju keamanan dan isu-isu kepentingan bersama.

"Sebaliknya adalah lebih baik untuk segala tenaga kita digunakan secara berkesan untuk memperjuangkan isu-isu yang melibatkan masalah semua kaum dan agama seperti isu jaminan kerja, rumah mampu beli dan isu darurat iklim," kata Arutchelvan lagi.

Lihat Komen
ADS