Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida nafi PKR senyap isu Zakir, hal kontroversi

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin menafikan partinya senyap dalam beberapa isu kontroversi yang melibatkan kepentingan orang ramai.

Antara isu berkenaan adalah kenyataan pendakwah Zakir Naik mengenai orang Cina dan India rakyat Malaysia, keputusan Putrajaya melanjutkan lesen operasi kilang Lynas di Pahang dan keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan pengajaran tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia darjah empat di sekolah vernakular Cina dan Tamil.

PKR masih belum menyatakan pendiriannya mengenai isu-isu ini, tetapi kata Zuraida, presiden parti Anwar Ibrahim sedang berada di Makkah ketika perkara berkenaan timbul.

"Beliau baru saja pulang, beliau perlu masa kerana baru balik dari tanah suci (Makkah)," kata Zuraida di Komtar, Pulau Pinang selepas merasmikan forum awam mengenai pilihan raya kerajaan tempatan.

Bagaiamanapun, Zuraida mempunyai pendapatnya tentang Zakir yang disoal siasat polis Bukit Aman selama berjam-jam malam tadi berhubung kenyataan pendakwah itu pada majlis di Kelantan yang mencetuskan ketegangan kaum.

"Pada masa ini, Zakir di luar kawalan, beliau telah menghancurkan kepercayaan kami terhadapnya dan membuatkan dirinya dieksploitasi pembangkang.

"Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tekah berkata pada mesyuarat kabinet bahawa tindakan akan diambil (jika polis mendapati Zakir mencetuskan kekacauan)," kata Zuraida.

Pada Khamis lalu, Zakir Naik, ketika mengulas pertuduhannya di India telah berkata rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Zakir juga telah membuat beberapa kenyataan mengenai orang Cina Malaysia memanggilnya sebagai "tetamu lama" .

Zakir mendakwa kenyataannya mengenai rakyat Malaysia Hindu telah dipetik secara salah. Bagaimanapun, pendakwah itu belum memberi maklum balas mengenai kenyataannya mengenai rakyat Malaysia Cina.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS