Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno perlu sedia tanding di Kimanis, kata veteran parti

Umno BN disaran meletakkan calon bertanding di Parlimen Kimanis, Sabah, sekiranya pilihan raya semula diadakan di kawasan itu susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Anifah Aman dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata kerusi berkenaan adalah kerusi tradisi yang menunjukkan Umno mempunyai kekuatan di situ.

"Ya, Umno wajar bertanding. Kawasan itu milik Umno BN. Anifah menang dengan beza 156 undi atas tiket Umno BN.

"Kimanis kubu kuat Umno BN walaupun ada berkata ia kubu kuat Anifah. Anifah kuat kerana Umno BN," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu mengisytiharkan kerusi parlimen Kimanis yang dimenangi Anifah pada pilihan raya umum lalu adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Lee Heng Cheong berkata keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Beliau berkata penambahan kertas undi tidak berkaitan adalah kesalahan serius yang telah mempengaruhi keputusan pilihan raya itu, justeru kemenangan bekas menteri itu terbatal.

Hakim juga mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membayar kos sebanyak RM100,000 kepada calon Warisan Karim Bujang yang memfailkan petisyen pilihan raya itu.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis PRU-14 dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas memperoleh 11,942 undi berbanding Karim dan Jaafar Ismail (Harapan Rakyat) yang masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun pula berkata, SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh 14 hari untuk rayuan tamat bagi tindakan selanjutnya berhubung kerusi Parlimen Kimanis.

Sementara itu, Mustapha berkata, Umno, BN mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kerusi berkenaan kerana ia kawasan majoriti Melayu.

Kerusi Parlimen Kimanis katanya, berbeza dengan Parlimen Sandakan yang mana majoriti pengundinya adalah Cina.

"Berbeza dengan Sandakan yang majoriti pengundinya orang Cina, Kimanis mempunyai majoriti pengundi Melayu, Bumiputera Islam.

"Jadi peluang untuk Umno, BN menang cerah terutama dalam situasi politik negara sekarang," katanya.

Mengulas perkara sama, Ketua Penerangan Umno Shamsul Anuar Nasarah berkata parlimen Kimanis sememangnya kerusi yang diwakili Umno BN, namun hanya diwakili wakil rakyat Bebas selepas Anifah meninggalkan gabungan itu.

"Apapun kita perlu tunggu, kerana tempoh untuk rayuan masih ada. Sampai masanya nanti UMNO BN akan membuat pengumuman rasmi," katanya kepada Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS