Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Penyokong PAS gesa Zakir tak sentuh kepercayaan agama lain
Diterbitkan:  Aug 18, 2019 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menggesa pendakwah Dr Zakir Naik tidak menyentuh kepercayaan agama lain dan isu kesetiaan masyarakat India terhadap kepimpinan negara.

Setiausahanya, S Barathidasan berkata Zakir seharusnya menghormati hak asasi manusia dan tidak mengeluarkan kenyataan mengenai kaum dan agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat Malaysia.

“Kami hanya meminta supaya beliau menghormati prinsip hak asasi manusia dengan tidak mengeluarkan pelbagai kenyataan sehingga menyentuh sentitiviti kaum, agama dan boleh menggugat perpaduan antara kaum.

“Rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini sentiasa menjaga hubungan baik yang terjalin dalam masyarakat majumuk di negara ini bagi memastikan kelangsungan hidup dalam suasana aman dan harmoni,” kata Barathidasan dalam kenyataannya hari ini.

Beliau juga menggesa Zakir mendapatkan nasihat Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengenai situasi di Malaysia.

Jumaat lalu, Zakir yang juga penceramah bebas dipanggil ke Bukit Aman untuk keterangan direkodkan berhubung ceramahnya di Kelantan pada 8 Ogos lalu, yang didakwa berbaur perkauman.

Pihak Polis Bukit Aman telah menyoal siasat Zakir berjam-jam mengenai kenyataannya tentang warga Malaysia daripada kalangan orang Cina dan rakyat beragama Hindu.

Dr Mahathir turut berkata kerajaan akan menarik balik status penduduk tetap (PR) Zakir sekiranya siasatan polis mendapati pendakwah itu melakukan sesuatu yang menjejaskan ketenteraman negara.

Zakir merupakan individu yang dikehendaki negara asalnya India atas dakwaan pengubahan wang haram dan kini mencari pelindungan di Malaysia.

Bharathidasan berkata pihaknya tidak mempertikaikan status penduduk tetap yang dimiliki Zakir dan dalam masa sama memuji PAS tidak mengetepikan orang bukan Islam di Kelantan dan Terengganu.

“PAS menghormati adat agama dan kepercayaan semua kaum dinegara ini dan mengekalkan semangat toleransi yang diamalkan sejak sekian lama.

“Rakyat bukan Islam di negeri Kelantan dan Terengganu tidak ditepikan, mereka diberi kepercayaan dalam kerajaan negeri melantik mereka menjawat jawatan sebagai Pegawai Khas Menteri Besar, Ahli Majlis, Ketua Kampung, Ketua Komuniti dan sebagainya seperti slogan “PAS Untuk Semua (PAS For All),” katanya.

Lihat Komen
ADS