Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas IGP gesa Zakir Naik dihantar pulang
Diterbitkan:  Aug 19, 2019 9:21 AM
Dikemaskini: 1:21 AM

Bekas ketua polis negara, Rahim Noor menggesa kerajaan membatalkan status Pemastautin Tetap (PR) terhadap penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik dan menghantarnya pulang ke India.

The Star memetik Rahim sebagai berkata, beliau secara peribadi percaya terdapat sebab yang mencukupi bagi kerajaan membuat keputusan tersebut meskipun siasatan masih berlangsung terhadap pendakwah itu.

"Dengan bukti kukuh mengenai apa yang diperkatakannya di Kelantan dan apa yang dilakukannya di India, saya menggesa kerajaan membatalkan status PR Zakir dan menyerahkannya kepada kerajaan India dan membenarkan beliau menghadapi undang-undang di sana," katanya.

Rahim berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk membatalkan status PR Zakir jika terbukti beliau melakukan kesalahan jenayah.

"Bagaimanapun, pandangan saya sendiri adalah beliau menyentuh agama dan perkara-perkara lain yang menyakitkan perasaan bukan Islam di negara ini, terutama orang Hindu.

"Kita tidak perlu menunggu keputusan siasatan," katanya dipetik sebagai berkata.

Pada 8 Ogos lalu, Zakir ketika berceramah mengenai penyebaran Islam di kepulauan Melayu, mendakwa masyarakat Hindu di Malaysia lebih percaya perdana menteri India berbanding Mahathir dan mengatakan bahawa "tetamu lama," yang merujuk kepada orang Cina, harus "balik dahulu" sebelum beliau berbuat demikian.

Zakir bagaimanapun menegaskan kenyataannya mengenai rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India dipetik di luar konteks.

Rahim berkata mereka yang tidak bersetuju dengan pendiriannya terhadap Zakir harus merenungkan mengapa ramai pendakwah Islam lain di India tidak menghadapi tindakan undang-undang.

"Harus ada sesuatu yang dia lakukan di negara asalnya yang bertentangan dengan undang-undang, kerana dia telah diletakkan sebagai senarai yang dikehendaki oleh pihak berkuasa India.

"Kita tidak memerlukan orang asing datang ke sini dan menggunakan agama untuk menimbulkan huru hara dan masalah.

"Adakah kita perlukan orang seperti ini? Bagi saya ini tidak sama sekali," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS