Status PR Zakir Naik hak asasi manusia diiktiraf dunia - PAS
Status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada Pendakwah Dr Zakir Naik adalah hak asasi manusia yang diiktiraf dunia dan negara bertamadun, kata PAS.
Presidennya Abdul Hadi Awang berkata dalam Islam, hak keselamatan terhadap mereka yang terancam juga dijamin walaupun individu itu bukan Islam.
“Kerajaan dan agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertegas dalam memberi jaminan keselamatan ini,” kata Abdul Hadi dalam kenyataannya, hari ini.
Semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Zakir Naik cuba bermain 'politik perkauman' susulan kenyataan terkini pendakwah kontroversi itu mengenai rakyat Malaysia berketurunan Cina dan penganut Hindu.
Dr Mahathir berkata kerajaan tidak kisah sekiranya Zakir sekadar memberikan ceramah agama semata-mata tetapi bukannya terlibat dengan politik atau membawa isu perkauman.
Zakir sedang disiasat oleh pihak polis berhubung kedua-dua kenyataan itu.

Dr Mahathir menegaskan sebarang tindakan yang diambil terhadap Zakir akan berlandaskan undang-undang.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata PAS mengikuti perkembangan isu melibatkan Zakir yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu atas tujuan yang dilihat boleh mengeruhkan suasana.
Anjur sesi dialog di RTM
PAS juga mencadangkan tiga perkara bagi menjernihkan keadaan antaranya dengan menganjurkan sesi dialog di RTM secara terbuka seperti yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan tempoh hari demi mencari ‘kebenaran dan kebersamaan’.
Selain itu katanya, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dengan menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama dalam negara.
“Siasatan juga perlu dilakukan terhadap pemimpin politik dan pengamal media yang menjadi ‘makhluk perosak’ yang mencetuskan kegelisahan ini.
“PAS dan pendukung Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sentiasa komited membela perpaduan kaum di negara ini, dan terbuka untuk berdialog dengan semua pihak di atas prinsip kebenaran.
“(Manakala) ketiga, jaminan keselamatan yang perlu dijaga tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

