Bendera terbalik: Suratan atau kebetulan?
Ketua Pemuda Umno Selangor Rizam Ismail mengecam pemasangan bendera terbalik yang dikesannya berlaku menjelang hari kemerdekaan hujung bulan ini.
“Saya mengecam tindakan beberapa pihak yang menggantungkan bendera secara terbalik.
"Adakah ini suratan atau kebetulan?” soalnya.
Beliau tidak menamakan dengan khusus pelaku itu tetapi semakan di media sosial mendapati sudah banyak aduan dibuat pengguna maya terhadap bangunan di seluruh negara yang dikesan memasang bendera terbalik.
Gambar-gambar berkaitan turut dikongsi di alam maya.
Dalam kenyataan hari ini, beliau menginhatkan supaya pemasangan bendera tidak diambil mudah kerana ia lambat kebesaran dan kedaulatan negara.
“Saya berharap isu ini tidak lagi berlaku dan ingin mengingatkan kepada semua premis yang ingin memasang Jalur Gemilang supaya lebih berhati-hati dengan membuat pemasangan yang betul sebelum ia dinaikkan dan dikibarkan,” katanya.
Toyota minta maaf
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, UMW Toyota membuat permohonan maaf di Facebook Toyota Malaysia atas kesilapan sebuah premis pengedarnya yang menggantung bendera terbalik.
“Perkara ini amat dipandang serius oleh pihak UMW Toyota dan tiada niat sama sekali untuk menghina Jalur Gemilang yang tercinta.
“Pengedar tersebut juga telah membetulkan kesilapan dengan segera dan memohon maaf di laman rasmi FB mereka yang mengakui kecuaian tersebut telah berlaku tanpa disengajakan,” menurut status itu semalam.
Berterima kasih kepada netizen yang membangkitkan perkara itu, UMW Toyota berkata telah pun mengeluarkan amaran keras supaya ia tidak berulang.
“Kekhilafan ini amat dikesali dan sekali lagi kami di UMW Toyota memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan memberi jaminan perkara sebegini tidak akan berulang,” tulisnya.

