Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timb menteri: Kos rawat pesakit akibat rokok 4 kali ganda hasil cukai rokok

Kerajaan terpaksa membelanjakan sekitar RM16 bilion setahun bagi merawat pesakit yang menderita pelbagai penyakit akibat tabiat merokok, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata jumlah perbelanjaan itu jauh lebih tinggi berbanding kadar kutipan cukai rokok yang diperoleh kerajaan iaitu dianggarkan kira-kira RM4 bilion setahun.

Katanya jumlah perbelanjaan berkenaan merupakan anggaran kos rawatan yang diperoleh daripada hospital dan klinik kerajaan serta swasta ke atas pesakit yang menghidap pelbagai jenis penyakit ekoran tabiat tidak sihat itu.

“Bagi setiap RM1 yang diperoleh daripada hasil cukai rokok, kerajaan terpaksa berbelanja sebanyak RM4 pula untuk merawat pesakit yang menghidap pelbagai penyakit berpunca daripada merokok.

“Seperti yang kita tahu, merokok merupakan antara punca kepada beberapa penyakit antaranya kanser, masalah jantung, dan masalah paru-paru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi dialog Jaringan Pintar Program Promosi Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di Shah Alam hari ini.

Lee Boon Chye

Turut hadir pada sesi berkenaan adalah Pengarah Bahagian Pendidikan KKM, Suraiya Syed Mohamed.

Mengulas mengenai program berhenti merokok yang dijalankan oleh KKM, Dr Lee berkata bagi tempoh 2012 hingga 2018, seramai 73,836 perokok telah menyertai program berkenaan dan 23 peratus atau 16,930 individu berjaya berhenti merokok.

“Terdapat 46 hospital kerajaan dan 731 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara menyediakan perkhidmatan berhenti merokok dan kementerian berharap agar perkhidmatan ini dapat dihebahkan kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Dr Lee dalam ucapannya berkata masalah merokok merupakan antara agenda nasional yang penting untuk disebarluaskan kepada masyarakat berikutan terdapat golongan perokok tegar yang sukar diyakinkan untuk berhenti daripada tabiat itu.

“Disebabkan itu, pihak kementerian telah mewartakan 23 kawasan sebagai tempat larangan merokok dan paling terkini adalah usaha menetapkan jarak tiga meter daripada premis-premis makanan sebagai koordinat larangan merokok.

“Pewartaan kawasan larangan merokok terutama di tempat makan adalah sebahagian usaha menyelamatkan individu bukan perokok daripada terus terdedah kepada asap rokok kerana pengunjung kedai makan dan restoran terdiri daripada masyarakat pelbagai peringkat usia dan jantina,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS