Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP DAP harap k'jaan bantu pekerja Utusan walau jadi 'mangsa propaganda'
Diterbitkan:  Aug 20, 2019 1:37 PM
Dikemaskini: 5:37 AM

Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat memberi bantuan dan sokongan sewajarnya kepada pekerja Utusan Melayu (M) Berhad, dengan dua akhbarnya Utusan Malaysia dan Kosmo! dijangka tidak akan lagi dicetak bermula esok.

Beliau berkata dengan gaji yang tertunggak mereka kini berdepan kesukaran untuk menyara kehidupan dan membayar komitmen pinjaman seperti rumah dah kereta.

"Saya yakin kerajaan PH akan mengambil langkah sewajarnya dan memberikan bantuan dan sokongan sewajarnya kepada mereka di waktu sukar ini, di sebalik bertahun lamanya menjadi mangsa propaganda Utusan yang penuh dengan kepalsuan.

"Kerajaan PH ialah untuk seluruh rakyat Malaysia - untuk rakyat yang mengundi mereka dan juga yang tidak mengundi mereka," katanya yang juga setiausaha DAP Wilayah Persekutuan dalam kenyataan, hari ini.

Sejumlah pekerja Utusan Melayu (M) Berhad diberitahu dua akhbar itu akan berhenti dicetak sehingga ke satu tarikh yang tidak didedahkan.

Bagaimanapun, menurut sumber-sumber, pekerja Utusan juga dimaklumkan bahawa edisi atas talian Utusan dan Kosmo! akan diteruskan.

Semalam, kira-kira 100 kakitangan dan bekas kakitangan Utusan hari ini berpiket menuntut gaji mereka yang didakwa tidak dibayar selama tiga bulan.

Beliau maklum bahawa pelabur baru yang berminat untuk mengambil alih akhbar itu hanya akan mengambil kira-kiara 120 pekerja, berbanding 800 pekerja yang ada sekarang.

"Ini bermakna 680 orang akan kehilangan pendapatan, 680 keluarga terkesan."

Lim turut menyatakan penghargaan kepada wartawan Utusan yang membuat liputan tentangnya selama ini dan berkata mereka boleh menghubunginya jika memerlukan "bantuan, nasihat undang-undang atau suara di Parlimen".

"Saya tahu anda telah cuba terbaik untuk memberi liputan yang adil terhadap saya, terima kasih untuk itu," katanya lagi.

Utusan sebelum ini merupakan akhbar milik Umno sebelum parti itu menjual pegangannya.

Pada Februari lalu, Umno menjual 31.61 peratus pegangan dalam Utusan kepada bekas Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu Abd Aziz Sheikh Fadzir pada harga RM6.65 juta, mewakili 65.2 peratus premium.


Lihat Komen
ADS