Malaysiakini BERITA

'Presiden Umno jumpa lembaga pengarah Utusan hari ini'

Haspaizi Zain  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Umno tidak "cuci tangan" dengan membiarkan kemelut Utusan Melayu (M) Bhd berlanjutan, sebaliknya akan membantu menyelesaikan masalah syarikat penerbitan akhbar tertua itu, kata Annuar Musa.

Setiausaha agung Umno itu berkata Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri akan mengadakan pertemuan dengan lembaga pengarah Utusan Melayu hari ini.

"Ada yang menulis (komen) kata Umno cuci tangan itu tidak benar, kita sentiasa membantu selama ini.

"Komitmen kami (Umno) untuk membantu Utusan (Melayu) jelas, walaupun Umno bukan lagi pemegang saham terbesar," katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Semalam, ratusan pekerja Utusan Melayu berpiket di ibu pejabat syarikat percetakan itu di Kuala Lumpur ekoran masalah gaji yang dihadapi mereka.

Utusan Melayu dijangka akan memberhentikan penerbitan edisi cetak akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! bermula esok ekoran kekangan kewangan dihadapi.

Bagaimanapun keputusan itu masih belum dimuktamadkan.

Semalam, bekas perdana menteri, Najib Razak turut bersedih dan kecewa dengan kemelut yang melanda Utusan Melayu.

Namun kata bekas presiden Umno itu, parti itu tidak dapat menolong Utusan Melayu memandangkan akaun Umno masih dibekukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Akaun bank Umno dibekukan sejak PRU ke-14 oleh kerajaan PH yang zalim ini.

"Dana PRU ke-14 Umno yang berjumlah RM116 juta itu juga telah disita dan dibekukan oleh kerajaan PH," tulis Najib.

‘Kalau tak beku ada lebih RM200 juta’

Sementara itu, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh setuju dengan pendapat Najib bahawa Umno sukar untuk membantu Utusan Melayu kerana kekangan kewangan dihadapi.

Jelas Annuar, jika ratusan juta duit dalam akaun Umno tidak dibekukan parti itu akan dapat membantu Utusan Melayu secepat mungkin.

"Kalau esok misalnya akaun kita tak dibekukan, secara tidak langsung kita ada lebih RM200 juta, kita boleh bantu kakitangan terutamanya.

"Pun begitu kita sedang fikirkan apa yang boleh kita bantu kita bantu.

"Masalah Utusan (Melayu) bukan ada sehari dua ni, dia dah ada masalah ni agak lama dan Umno sudah membantu sepanjang masa," jelas Annuar.