Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis sahkan siasat dakwaan gangguan seksual terhadap wartawan
Diterbitkan:  Aug 20, 2019 2:38 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Seorang doktor kulit di sebuah klinik di Kuala Lumpur kini sedang disiasat selepas beberapa dakwaan gangguan seksual mengaitkannya muncul pada hujung minggu lalu.

Kes itu didedahkan wartawan dari South China Morning Post, Tashny Sukumaran pada 16 Ogos lalu yang mendakwa dirinya disentuh secara tidak wajar selepas melakukan pemeriksaan kulit di klinik berkenaan.

Wartawan wanita itu mendakwa kakinya diangkat ke pangkuan doktor berkenaan secara paksa dan tiada pembantu klinik yang hadir ketika pemeriksaan dijalankan.

Selepas menceritakan pengalamannya di media sosial, beberapa individu lain tampil menceritakan episod gangguan seksual yang pernah dialami mereka di tempat sama.

Tashny membuat laporan polis berhubung perkara itu dan turut membuat aduan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) setelah berunding dengan seorang pakar kanan dan seorang peguam.

Semalam melalui media sosial, Tashny berkata beliau diminta datang ke klinik berkenaan oleh pihak polis untuk membantu siasatan.

Menurut Tashny, dia kemudian bertemu dengan beberapa individu yang berkongi pengalaman serupa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur mengesahkan dakwaan itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang meliputi serangan atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatan.

Jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Beberapa percubaan untuk menghubungi klinik itu menerusi panggilan telefon gagal berikutan talian sibuk.

Lihat Komen
ADS