Rayer tarik balik kenyataan 'kematian Utusan pencapaian banteras perkauman'
Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer telah menarik balik sebahagian daripada kenyataannya berkenaan keputusan Utusan Malaysia untuk menghentikan akhbar bercetak sebagai "pencapaian terbesar Pakatan Harapan (PH)" dalam membanteras perkauman.
Hari ini Rayer dalam kenyataan terdahulunya berkata: "Saya ingat kematian Utusan akan merupakan pencapaian terbesar Pakatan Harapan ketika kita cuba menguburkan sifat perkauman dalam negara ini dan meraikan hari kemerdekaan ulang tahun ke-62."
Bagaimanapun dalam kenyataan kemas kini dua jam kemudian, perenggan berkenaan kenyataan itu sudah dipadamkan.
Ketika dihubungi, Rayer menjelaskan kenyataan tersebut dipinda kerana ia dihantar kepada media sebelum beliau sempat menyemak kandungannya.
"Kenyataan itu dihantar sebelum saya dapat semak.
"Saya baru balik dari tugasan mahkamah. Saya semak dengan pejabat saya, mereka sudah hantar (kenyataan itu). Dia (pembantunya) sepatutnya tunggu dulu tetapi dia telah hantar (kepada media)," kata Rayer kepada Malaysiakini.
Pindaan itu selepas rungutan sejumlah wartawan tetapi beliau menafikan ditekan untuk mengubah kenyataannya.
"Tiada tekanan," katanya.
Setakat berita ini ditulis, versi awal kenyataan itu, yang dimuat naik di laman Facebooknya, belum dipadam. Daripada 183 reaksi setakat ini, 116 daripadanya ialah emotikon 'marah'.

Dalam kenyataannya, Rayer membangkitkan tajuk halaman utama Utusan selepas PRU ke-13 yang berbunyi "Apa lagi Cina mahu?" merujuk kepada pengundi Cina yang dilihat menolak BN pada masa itu.
"Kata-kata 'what goes around comes around' (buat jahat, dibalas jahat) sangat tepat untuk Utusan dalam soal ini," katanya.
Beliau juga mendakwa akhbar itu mempunyai rekod tidak menyumbang ke arah pembangunan dan integrasi negara sejak kemerdekaan, sebaliknya menyebarkan perkauman, kebencian dan politik yang memecah belah "ketika berada di puncaknya".
Bagaimanapun, Rayer menyatakan rasa simpati dengan nasib pekerja Utusan yang kini menghadapi masa depan yang tidak menentu.
"Saya harap kerajaan Pakatan Harapan akan dapat membantu semua pekerjanya dengan menawarkan mereka pekerjaan alternatif di jabatan kerajaan masing-masing kerana semua pekerja ini mempunyai keluarga,” katanya.
Rayer berkata pekerja Utusan tidak harus dipersalahkan atas keputusan pihak atasan dan editor mereka selama ini.
Pada tahun lalu, Rayer mengundang kecaman apabila menggesa kerajaan menutup TV3, dua hari selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan persekutuan.
"Lesen siaran TV3 wajib ditarik oleh HARAPAN dengan serta-merta kerana mereka adalah penghasut," katanya pada masa itu.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang kemudian berkata pandangan Rayer itu tidak mewakili dasar PH dan DAP.
Utusan sebelum ini merupakan akhbar milik Umno sebelum parti itu menjual pegangannya.
Pada Februari lalu, Umno yang berdepan masalah kewangan menjual 31.61 peratus pegangan dalam Utusan kepada bekas Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu Abd Aziz Sheikh Fadzir pada harga RM6.65 juta, mewakili 65.2 peratus premium.
Semalam, kira-kira 100 kakitangan dan bekas kakitangan Utusan hari ini berpiket menuntut gaji mereka yang didakwa tidak dibayar selama tiga bulan.
Mereka juga diberitahu bahawa dua akhbar syarikat itu - Utusan dan Kosmo - akan berhenti dicetak sehingga ke satu tarikh yang tidak didedahkan.

