Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Kelantan tak keluarkan permit untuk Zakir Naik

Polis Kelantan tidak akan mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana individu atau pertubuhan yang berhajat membawa penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik bagi menyampaikan ceramah.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mohamad Piah berkata, polis tidak akan membenarkan perkara itu (ceramah) di hadapan umum dan sehubungan itu mulai sekarang sebarang permit tidak akan dikeluarkan.

Beliau berkata tindakan itu diambil atas faktor keselamatan tetapi beliau (Zakir) boleh datang ke Kelantan dan bebas ke mana-mana sahaja.

"Kita tidak boleh menyekat sekiranya beliau datang ke sini tetapi sebagaimana yang kita maklumkan, beliau tidak boleh menyampaikan ceramah di hadapan umum.

"Tindakan ini diambil adalah atas faktor keselamatan berikutan beberapa isu yang timbul daripada ceramah yang disampaikan beliau sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, selain Kelantan ada beberapa lagi negeri seperti Kedah, Perlis dan Terengganu yang mengharamkan Dr Zakir menyampaikan ceramah disebabkan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Sebelum ini dalam ceramahnya di Kota Bharu, Dr Zakir dilaporkan telah membuat perbandingan agama yang menimbulkan kontroversi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS