Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tinggalkan sentimen perkauman, 'mentaliti terkepung', kata Anwar

Tiada sebab orang Melayu bimbang mengenai hak keistimewaan mereka yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof yang mengatakan orang Melayu terlalu memberi muka terhadap 'kaum rasis' di negara ini.

"'Mentaliti terkepung' dan pemkiran yang cenderung kepada sentimen perkauman sudah pasti tidak bijak.

"Tiada apa yang menghalang kita daripada memulakan usaha lebih berkesan untuk meningkatkan pendidikan dan tahap penguasaan Bahasa Malaysia, untuk menyebarkan Islam sebagai agama persekutuan dan juga untuk melindungi peruntukan Perkara 153.

"Dan ini tidak pernah disabotaj atau ditentang oleh orang bukan Melayu, Cina atau India," kata Anwar dalam satu sidang akhbar di Cheras petang ini.

Justeru beliau menyeru rakyat Malaysia agar bekerja bersama-sama dan terus bergerak ke hadapan.

"Semakin kurang prasangka antara kaum adalah lebih baik," katanya.

Malaysia milik semua

Anwar berkata beliau juga tidak setuju dengan kenyataan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini bahawa Malaysia adalah milik orang Melayu.

"Saya tidak berhasrat ulas secara peribadi pandangan beliau tetapi Malaysia adalah hak milik rakyat Malaysia

Anwar menegaskan bahawa hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan kedudukan Raja-raja Melayu dijamin oleh perlembagaan.

"Saya rasa cukup dan memadai dan wajar untuk kita sekarang memulihkan harmoni dan kasih sayang, rahmah di antara satu sama lain di negara kita," katanya.

Anwar bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan, wakil-wakil daripada Majlis Profesor Negara dan beberapa NGO.

Beliau akan mengadakan ceramah umum bertajuk "Bual Bicara Anwar Ibrahim" di Kompleks Darul Puteri malam ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS