Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ambil tindakan undang-undang adil, menyeluruh'
Diterbitkan:  Aug 20, 2019 10:44 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Mengakui Dr Zakir Naik tidak wajar menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini, salah seorang pemimpin kanan Bersatu menggesa tindakan tegas turut diambil ke atas individu yang menyentuh hal sensitif dalam negara.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata seperti tindakan yang dituntut ke atas Zakir, langkah sama perlu dikenakan terhadap beberapa individu lain yang berkaitan.

Antaranya, kata Mohd Rafiq, menteri kabinet yang menggelar Melayu sebagai pendatang, serta Tan Sri yang menukar warna Jalur Gemilang dengan warna hitam

Turut mendapat perhatian Mohd Rafiq ialah ahli perniagaan yang mendakwa anggota tentera Malaysia hanya tahu makan dan tidur, serta wakil rakyat yang mengaitkan tulisan Jawi dengan penerbitan buku pornografi.

"Tindakan undang-undang yang diambil secara lebih adil, menyeluruh dan tidak selektif atas isu-isu kontroversi yang melanda negara - termasuk isu Zakir - merupakan harapan seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai Zakir, Mohd Rafiq berkata, pendakwah dari India itu sudah menerima teguran daripada pelbagai pihak dan selepas itu dia membuat permohonan maaf secara terbuka.

Katanya Perkara 3 Perlembagaan Malaysia secara jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.

Justeru, katanya, sebarang usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Islam oleh mana-mana pendakwah sepatutnya tidak menjadi pertikaian dan dibenarkan selagi ia menggunakan pendekatan berhemah dan tidak melanggar undang-undang negara.

Lihat Komen
ADS