Polis nafi keluarga terlibat kes kehilangan Nora Anne
Polis hari ini menafikan dakwaan yang mengaitkan keluarga Nora Anne Quoirin terlibat dalam kes kehilangan serta kematian remaja berkenaan.
Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata ia adalah fitnah memandangkan tuduhan itu dibuat dari luar negara oleh seorang peguam yang dikenali sebagai Anne Brennan.
“Oleh kerana itu, kami rasa itu sebagai fitnah sebab kami tidak tuduh sesiapa. Polis tidak pernah mengeluarkan kenyataan kononnya ibu bapa Nora Anne terlibat.
“Dakwaan itu tidak betul. Semalam, pukul 6 petang, pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai telah buat laporan ke atas hantaran Facebook ini kerana memfitnah pasukan polis yang sedang menjalankan siasatan.
“(Jadi) Ya, kami nafikan dan kenyataannya berniat jahat kerana kami masih jalankan siasatan," katanya kepada Bernama hari ini.
Mohamad berkata pihaknya menyiasat fitnah yang dibuat berdasarkan kenyataan menerusi laman Facebook itu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Anne Brennan - yang juga seorang aktivis kanak-kanak - menerusi akaun Facebook membuat pelbagai dakwaan. Antara lain dia menuduh keluarga Quoirin sendiri terlibat dalam kes kehilangan dan kematian Nora Anne, remaja anak istimewa berusia 15 tahun.
Selasa lalu, mayat Nora Anne ditemukan kira-kira jam 2 petang oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat kira-kira 2.5 kilometer dari penginapannya, sebuah resort di Pantai, Negeri Sembilan, lokasi dia dilaporkan hilang mulai 4 Ogos.
Laporan bedah siasat mengesahkan gadis itu meninggal dunia akibat kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres berpanjangan selain tiada tanda-tanda perbuatan jenayah.
Nora Anne bersama ibunya, Meabh Jaseprine Quoirin dan bapanya Sebastien Marie Philipe serta dua orang adiknya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort itu pada 3 Ogos.
- Bernama

