Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Enam jam selamatkan gajah terperangkap dalam lombong emas

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mengambil masa hampir enam jam bagi menyelamatkan lima ekor gajah yang terperangkap di dalam lombong emas tinggal di Pekan, Pahang semalam.

Pengarah Perhilitan Pahang Rozaidan Md Yasin berkata operasi dilakukan oleh pegawai jabatan itu dari daerah Muadzam Shah, Rompin yang menerima maklumat empat gajah dewasa dan seekor anak gajah terperangkap di Runchang, pada pagi semalam.

“Empat pegawai yang membuat semakan di lokasi kejadian mendapati gajah itu tidak dapat keluar dipercayai kerana kawasan lombong yang berlumpur.

“Kami terpaksa meminta bantuan daripada syarikat perlombongan berhampiran bagi menggunakan excavator mereka untuk mengorek dan membuat laluan keluar kepada gajah tersebut,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Difahamkan, lombong yang diusahakan secara haram itu mempunyai kedalaman kira-kira 15 kaki.

Rozidan berkata kejadian itu dipercayai berlaku selepas gajah dewasa dalam kumpulan itu cuba 'menyelamatkan' anaknya.

"Berdasarkan kesan tapak kaki, anak gajah dipercayai tergelincir dari tebing ke dalam lombong itu menyebabkan empat ekor gajah dewasa turun ke dalam lombong untuk menyelamatkan anak gajah itu.

"Bagaimanapun, kumpulan gajah itu dipercayai tidak dapat keluar kerana keadaan tebing yang curam dan tinggi selain badan mereka juga licin ekoran diselaputi selut. Malah kedalaman selut dalam lombong itu juga dianggarkan tiga kaki," katanya.

Rozidan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian sekitar pagi semalam oleh orang kampung yang mendengar bunyi bising daripada kumpulan haiwan berkenaan, lalu menghubungi pasukan Perhilitan Muadzam Shah, Rompin.

Beliau berkata pasukan yang membuat pemeriksaan mendapati gajah itu cuba untuk keluar daripada lombong pada 12 tengah hari, namun gagal menyebabkan mereka perlu meminta bantuan daripada syarikat perlombongan berhampiran untuk menggunakan excavator bagi membuat laluan keluar.

Rakaman video operasi menyelamatkan gajah itu yang berdurasi 3 minit 43 saat dimuat naik di laman Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia dan turut kedengaran suara pasukan penyelamat memberi arahan supaya gajah itu menuju ke arah 'laluan' yang dibuat.

Seekor gajah dewasa dilihat mula 'mendaki' laluan itu sebelum diikuti gajah yang lain, namun anak gajah dalam kumpulan itu dilihat seperti tidak berupaya untuk mendaki laluan yang agak tinggi sehingga perlu ditolak oleh seekor lagi gajah dewasa. 

Rozaidan berkata kesemua gajah itu berjaya dikeluarkan sekitar 6 petang dan didapati berada dalam keadaan baik.

Gajah itu kemudiannya meneruskan perjalanan masuk ke hutan berhampiran, katanya.

Tepukan dan ucapan kesyukuran kedengaran di hujung video itu, apabila semua gajah berjaya keluar.

Setakat pagi ini, video itu ditonton 337,000 orang dan sebanyak 1,600 komen diterima dan 4,400 kongsian daripada pengunjung laman sosial itu yang berterima kasih dan memuji kesungguhan pegawai berkenaan membantu mengeluarkan gajah tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS