Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO gesa exco Perak ambil cuti sementara kes dibicara
Diterbitkan:  Aug 23, 2019 3:27 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Exco Perak Paul Yong yang dihadapkan ke mahkamah hari ini atas dakwaan merogol bekas pembantu rumahnya, perlu mengambil cuti sementara perbicaraannya berjalan, kata seorang pemimpin NGO.

Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel berkata, ini kerana Yong boleh menggunakan kedudukannya untuk mengganggu siasatan dan mempengaruhi pihak yang berpotensi menjadi saksi.

"Sementara dia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, dia sepatutnya membuat perkara yang betul dan berundur (step aside), sehingga namanya dibersihkan," kata Cynthia kepada Malaysiakini.

Yong yang juga bendahari DAP Perak hari ini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di Meru Desa Park pada 7 Julai, antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam. Mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Ketika ditemui selepas prosiding, Yong bertegas akan meneruskan tugas rasminya walaupun dinasihatkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu untuk mengambil cuti.

Paul Yong

Dia berkata tiada sebab mengapa perlu mengambil cuti selepas mengambil kira "mandat rakyat" kepadanya.

Mengapa saya mahu berhenti? Apa sebab saya mahu cuti?...Saya masih lagi exco kerajaan negeri. Saya mewakili rakyat," katanya.

Adun Tronoh itu juga mendakwa "boleh mengagak" individu yang bertanggungjawab di sebalik tuduhan ke atasnya.

Semalam, Speaker Perak Ngeh Koo Ham membuat laporan polis mendakwa bahawa individu yang membawa pembantu rumah Indonesia berkenaan untuk membuat laporan polis terhadap Yong menerima RM100,000 dan diugut oleh individu yang mempunyai senjata api agar tidak mendedahkan perkara berkenaan.

'Satu lagi hari sedih buat Malaysia'

Sementara itu, NGO hak migran Tenaganita berkata Yong telah menyertai senarai 100 ahli politik di seluruh dunia yang dihadapkan dengan tuduhan rogol.

"Walaupun belum dibuktikan bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesianya, ini satu lagi hari yang sedih buat Malaysia," kata pengarah eksekutifnya Glorene A Das dalam kenyataan.

Glorene A Das

"Tenaga ingin sekali lagi menyebut pencabulan seperti ini terhadap pembantu rumah bukanlah hal terpencil," katanya lagi.

Sepanjang lima tahun mutakhir, katanya, NGO itu menerima sekurang-kurangnya 74 kes gangguan seksual, cabul dan rogol terhadap pembantu rumah dan pekerja wanita warga asing di Malaysia.

"Sekian lama pencabulan terhadap pembantu rumah diabaikan dan dianggap sebagai isu tak penting, sehinggalah satu kes teruk didedahkan, apatah lagi dengan kes rogol terhadap mereka. Bagi mangsa, rogol biasanya lebih teruk daripada mati.

"Tenaganita terus berharap agar keadilan dapat ditegakkan terhadap pembantu rumah yang terkesan dan Yong dikenakan hukuman paling berat jika dia didapati bersalah," katanya lagi.

Katanya, kerajaan juga bertanggungjawab secara langsung atau tidak langsung dengan perkara itu memandangkan pembantu rumah tidak diberi perlindungan penuh sebagai wanita dan pekerja di Malaysia.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata cadangan menteri besar agar Yong berundur adalah wajar.

"Dalam konsep kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan, saranan menteri besar sangat wajar kerana dia (Yong) berdepan dakwaan jenayah. Bagaimana dia mahu meneruskan tugasnya dengan baik ketika sedang berdepan dakwaan jenayah.

"Penting untuk dia sedar bahawa menteri besar sekadar bersikap sopan dan memberi dia pilihan untuk bercuti.

"Kecuali dia masih berdegil untuk meneruskan tugasnya, menteri besar mempunyai hak untuk menyingkirkannya, adakah dia mahu sampai sebegitu sekali?" soal Haniff.

Haniff turut berkata bahawa meskipun Yong mendakwa ada konspirasi terhadapnya, exco itu boleh membangkitkannya di mahkamah dan seterusnya kembali ke bidang politik dan jawatannya semula sekiranya mahkamah mendapatinya tidak bersalah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS