Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno kesal DAP bersungguh pertahan Paul Yong
Diterbitkan:  Aug 23, 2019 5:45 PM
Dikemaskini: 1:19 PM

Pemimpin DAP digesa menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan mengenai kes salah seorang exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong yang didakwa terlibat dalam kes rogol, kata Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Pemuda Umno kesal dengan sikap pemimpin-pemimpin DAP yang bersungguh-sungguh mempertahankan Yong dengan mendatangkan pelbagai teori konspirasi sedangkan mahkamah baru sahaja mendengar pertuduhan.

"Sepatutnya mereka yang kononnya memperjuangkan prinsip ‘rule of law', menyerahkan sepenuhnya kepada sistem kehakiman dan perundangan untuk menentukan sama ada pemimpin DAP itu bersalah ataupun tidak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemuda Umno katanya turut menyokong saranan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang meminta Paul Yong bercuti kerana berdepan pertuduhan merogol amah.

"Justeru Pemuda Umno, sekali lagi mendesak Yong untuk bercuti dan menggesa pemimpin-pemimpin DAP agar menghormati undang-undang dan sistem kehakiman negara serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai penghinaan kepada sistem perundangan," katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak Ngeh Koo Ham membuat laporan polis malam tadi berhubung maklumat yang didakwa diterimanya berkenaan dakwaan rogol membabitkan Yong.

Menurut laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Ngeh mendakwa mendapat maklumat bahawa pembantu rumah warga Indonesia itu menerima wang RM100,000 dan diugut dengan sepucuk pistol agar tidak membongkarkan perkara itu. 

Semalam, Ahmad Faizal menasihatkan Yong bercuti daripada tugas rasminya kerana berdepan tuduhan tersebut.

Beliau berkata kerajaan negeri mengambil maklum keputusan peguam negara untuk mendakwa Yong mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Yong yang dihadapkan ke mahkamah di Ipoh hari ini enggan tunduk kepada saranan Menteri Besar Perak supaya bercuti.

Sikap hipokrasi DAP

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Bestien Onn menyifatkan keengganan Yong untuk bercuti menunjukkan sikap hipokrasi DAP yang tinggi.

Katanya, DAP pernah mendesak bekas perdana menteri, Najib Razak bercuti bagi memudahkan siasatan berhubung isu 1MDB pada tahun 2015 dulu.

"Saya ingin memberitahu rakyat bahawa ketika itu Najib baru di peringkat siasatan pun sudah ditekan untuk bercuti, inikan pula sedang dituduh dan dibicara di mahkamah.

"Hubungan dengan negara jiran Indonesia juga perlu diambil kira. Memandangkan ini kes berprofil tinggi, kerajaan Indonesia mengikuti rapat serta ia mendapat liputan media yang meluas di Jakarta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Lihat Komen
ADS