Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis beri amaran keras perhimpunan bantah Zakir, Jawi

Polis memberikan amaran keras agar orang ramai tidak menyertai dua perhimpunan, masing-masing berhubung isu penceramah kontroversi Dr Zakir Naik dan isu tulisan Jawi yang dijadualkan berlangsung malam ini dan esok.

Perhimpunan 'Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil' yang dijadualkan berlangsung 7 petang ini, sementara himpunan 'SayNo Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Races' dijadual berlangsung 2 petang esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim, berkata tindakan tegas akan diambil termasuklah tangkapan terhadap pihak yang ingkar.

"Sekeras-kerasnya, dan setegas-tegasnya saya mengatakan kita tak membenarkan himpunan diadakan. Saya minta orang ramai tak pergi berhimpun.

"Isu ini telah selesai, jadi kenapa nak buat lagi perhimpunan?

"Kali ni kita akan ambil tindalan tegas. Tengoklah nanti. Pihak kita akan ambil keterangan pihak yang terlibat, malah akan buat tangkapan jika masih berdegil," katanya di sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumlur hari ini.

Katanya, penganjur telah membuat permohonan untuk kedua-dua perhimpunan itu diadakan sama ada di Water Fountain Little India atau hadapan Restoran Sri Panndi, Brickfileds, namun ia tidak dibenarkan.

Susulan bantahan terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia murid darjah empat sekolah vernakular Cina dan Tamil, Kementerian Pendidikan memaklumkan pengajaran subjek itu tertakhluk keputusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Isu Zakir Naik pula menjadi kontroversi susulan kenyataannya ketika berceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu apabila mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu warga negara Malaysia.

Ketika mengulas pertuduhannya di India, Zakir telah berkata rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga telah membuat beberapa kenyataan mengenai orang Cina Malaysia memanggilnya sebagai "tetamu lama."

Hal itu mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Untuk rekod, Zakir telah memohon maaf serta menafikan semua tuduhan terhadapnya dan mendakwa kenyataannya mengenai orang Cina dan India rakyat Malaysia telah dipetik di luar konteks ucapannya.

Sementara itu, Mazlan memaklumkan bahawa polis juga akan membuat sekatan dan lencongan jalan bagi memastikan himpunan itu tidak diadakan seperti yang dirancang.

"Tiga kawasan kita akan buat sekatan jalan untuk pemeriksaan rapi. Kita juga akan alihkan jalan.

"Kita minta mereka yang duduk di situ agar bersabar. Ini demi keselamatan," katanya.

Beliau juga memberi jaminan anggota polis yang akan bertugas mencukupi bagi memantau keadaan.

Sekatan akan dibuat di Jalan Tun Sambathan, Jalan Rakyat dan jalan dari Lebuhraya Persekutuan menghala ke Little India.

Selain itu, Azlan turut menyifatkan dakwaan perhimpunan tersebut telah mendapat permit sebagai karut dan meminta orang ramai tidak terpedaya.

"Mereka ini ada yang kata dapat permitlah, apa semua. Karut. Tak betul.

"Jadi saya nak bagitahu kepada orang ramai, jangan terpedaya dan jangan pergi ke tempat tersebut kerana ia boleh ganggu gugat keselamatan," katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS