Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes exco PKR Perak: Polis hantar 2 kertas siasatan ke pendakwaan
Diterbitkan:  Aug 23, 2019 9:39 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Kertas siasatan kes membabitkan Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari telah dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Perak Razarudin Husain berkata pihaknya menghantar kertas siasatan itu pada minggu lepas.

"Kedua-dua kertas siasatan (berkaitan laporan polis oleh bekas pegawai khas Abdul Yunus dan laporan polis oleh Abdul Yunus) telah dihantar pada hari yang sama," katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.

Pada 13 Julai lepas, bekas pegawai khas Abdul Yunus, Beh Yong Kean membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mendakwa Exco itu membocorkan minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi tujuan mendapatkan komisen projek.

Razarudin dilaporkan berkata pihaknya telah mendapat Kuasa Untuk Menyiasat daripada Pengarah Pendakwaan negeri untuk menyiasat kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau itu.

Kes itu melibatkan dua kertas siasatan dengan yang pertama adalah berkaitan laporan polis oleh bekas pegawai khas Abdul Yunus, Beh Yong Kean yang mendakwa Exco tersebut membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri dan ia disiasat di bawah Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi.

Satu lagi kertas siasatan adalah berhubung laporan polis ke atas Beh yang dibuat oleh Abdul Yunus dan ia disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS