Seramai 169 peserta termasuk peserta luar negara iaitu Jepun, Indonesia dan Singapura, menyertai Bengkel Pembuatan Tanjak dan Tengkolok, dalam usaha mengekalkan warisan budaya serta adat yang menjadi identiti negara ini.

Presiden Persatuan Bentan Malaysia Datuk Nazri Kamal berkata program itu yang buat julung kalinya diadakan, bertujuan memupuk minat masyarakat terutama generasi muda dalam mengekalkan budaya pemakaian tanjak dan tengkolok, selain memberi pemahaman berkenaan busana itu.

"Ia dapat memberi pemahaman terhadap masyarakat, terutama anak muda mengenai tanjak dan tengkolok seperti konsep, jenis dan cara-cara menghasilkan busana tersebut, selain busana itu juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan.

"Kita mahu mendidik generasi muda ini mengenal warisan budaya dan berharap mereka mengekalkan warisan budaya ini, agar tidak tidak dilupakan dan tetap diteruskan ke generasi akan datang," katanya kepada Bernama selepas Majlis Penutupan Bengkel Pembuatan Tanjak dan Tengkolok di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Nicole Tan Lee Koon.

Sementara itu, Tan berkata program ini tidak terhad kepada satu kaum dan bangsa, malah ia memberi pendedahan kepada masyarakat berbilang kaum mempelajari budaya dan warisan Melayu.

"Kita mahu merapatkan jurang persefahaman ini dengan mendalami tentang budaya kaum lain, kerana setiap kaum mempunyai identiti dan budaya warisan mereka sendiri.

"Jadi kita mengalakkan rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama, untuk mempelajari budaya kaum lain dengan terlibat program kebudayaan seperti ini, bagi bersama-sama mengekalkan dan mempertahankan warisan budaya Malaysia," katanya.

Seorang peserta dan juga pengusaha tanjak, Monalisa Ahmad Mokhtar, 46, berkata meskipun dia seorang wanita, namun bukan penghalang untuk dirinya mengusahakan perniagaan tanjak di Ayer Keroh, Melaka.

"Meskipun tanjak ini dipakai oleh kaum lelaki, tetapi mengikut sejarah berkakran tanjak ini sebenarnya ia dikarang atau dibuat oleh seorang wanita, sebagai contoh tanjak yang dihasilkan oleh ibu kepada anak atau isteri kepada suaminya.

"Tambahan pula, saya berminat dalam mengusahakan dan menghasilkan tanjak ini, kerana ia merupakan adat dan warisan budaya kita sebagai anak Melayu. Sejak itu saya rasa tidak salah untuk menceburi bidang ini meskipun ia dilihat sering didominasi oleh golongan lelaki," katanya.

Bengkel selama dua hari bermula semalam dan berakhir pada hari ini itu, merupakan anjuran Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia, dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan bersama Persatuan Peniaga Bazar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) Seremban.

- Bernama