Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amirudin minta Zahid cermin diri sebelum masuk campur parti lain

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari meminta Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi bercermin diri sendiri terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan politik parti lain.

Amirudin yang juga Pengerusi PKR berkata anggota Parlimen Bagan Datuk itu sepatutnya bimbangkan keadaan politik Umno selepas ramai ahlinya keluar parti dan menyokong kepimpinan kerajaan PH di bawah Dr Mahathir Mohamad.

“Yang pastinya Ahmad Zahid dan rakan-rakan gabungan (BN) makin sikit, jadi jangan cakap Tun Mahathir bersendirian.

“Tun Mahathir makin banyak sokongan, sedangkan ramai pemimpin atau ahli Umno yang melompat masuk Bersatu, sokong PH. Jadi cermin diri dulu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang PKR peringkat Selangor 2019 di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Ahmad Zahid bahawa Dr Mahathir Mohamad ketika ini bersendirian dalam PH kerana Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang aktif membuat perancangan strategi menolak kepimpinan perdana menteri itu.

Ahmad Zahid dilapor berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Agung MIC ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

'Fitnah untuk pecahbelahkan PH'

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin pula menyifatkan kenyataan bekas timbalan perdana menteri itu sebagai fitnah bagi memecah belahkan PH.

"Itu adalah fitnah untuk memecahbelahkan PH.

“Jadi, tak payahlah dengar cakap pembangkang, tak payah beri perhatian pun. Itu memang kerja dia (pembangkang) untuk memberikan keraguan,” katanya.

Mengulas pendirian Selangor terhadap kepimpinan Mahathir, Amirudin menegaskan, kerajaan negeri tetap menyokong kepimpinan perdana menteri seperti dipersetujui oleh parti.

"Kita kekal pendirian siapa PM dipilih oleh PH, kita sokong dan ikut dasar seperti ditetapkan di peringkat pusat," katanya.

Perkara yang sama turut dipersetujui Zuraida.

”Selaku menteri kabinet dan Tun sebagai perdana menteri yang menerajui kepimpinan kita harus menyokong dan melakukan tugas-tugas yang diamanahkan mengikut keputusan kabinet

“Dan ini termasuk PKR,” katanya.

Selain Itu, Zuraida yang juga anggota Parlimen Ampang berkata dakwaan Ahmad Zahid bahawa krisis dalam PH wujudkan fenomena baru yang akan membuatkan PH mati secara senyap dan halus tidak jejaskan kerajaan sedia ada.

“Apa yang rakyat lihat adalah prestasi kerajaan yang ada dan setakat ini saya lihat kementerian dan menteri-menteri yang ada sekarang telah nampak peningkatan prestasinya selepas dapat menyesuaikan diri sekali gus lebih cepat mereka jalankan tugas sekarang,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS