Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Najib Razak dibenarkan membuat permohonan kepada mahkamah untuk membatalkan kelayakan bekas peguam, Gopal Sri Ram, daripada mengetuai pasukan pendakwaan kes 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang hari ini secara sebulat suara membenarkan Najib meneruskan usahanya membuat semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Gopal sebagai timbalan pendakwa raya.

Gopal dilantik kerajaan bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan Najib yang berdepan dengan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Beliau didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan 21 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Najib dituduh melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur di antara 2011 dan 2014.

Tiga hakim yang bersidang hari ini diketuai Hasnah Mohamed Hashim.

Mereka bersetuju membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib untuk memohon untuk membuat semakan kehakiman berhubung pekantikan Gopal.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan berkenaan pada 19 Feb lalu.

Keputusan hari ini juga memihak Muhammad Shafee Abdullah, yang turut memohon agar kelayakan Gopal menjalankan tugas sebagai timbalan pendakwa raya bagi tuduhan jenayah yang dikenakan ke atas peguam Najib berkenaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - pada tarikh sama - menolak permohonan Shafee.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS