Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas permohonan ditolak, penganjur setuju tukar waktu konsert - Puspal
Diterbitkan:  Aug 26, 2019 7:12 PM
Dikemaskini: 3:35 PM

Penganjur konsert penyanyi India SP Balasubrahmanyam pada 31 Ogos ini - hari sama dengan sambutan Maal Hijrah - setuju untuk meminda waktu konsert selepas permohonan asal ditolak, kata Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Konsert tersebut dianjurkan Raaghav Production dan diadakan di Plenary Hall KLCC. Ia pada mulanya dijadual bermula pada pukul 7 malam tetapi diawalkan kepada pukul 3 petang.

Dalam kenyataan hari ini, Puspal berkata pihaknya pada mulanya tidak memberi sokongan untuk penganjuran konsert itu dan hanya menerima permohonan penganjur pada 31 Julai lalu.

"Permohonan itu telah ditolak berdasarkan pandangan dan nasihat Jakim agar pemohon dapat meminda tarikh konsert tersebut kepada tarikh yang lebih sesuai, kerana 1 Muharam bermula pada terbenamnya matahari pada 31 Ogos 2019," kata Puspal.

Kata Puspal lagi, penganjur kemudian membuat rayuan atas dasar tiket telah dijual.

"Bagi membantu penganjur dengan mengambil kira kesulitan mereka kerana memulakan jualan tiket sebelum mendapat kelulusan, Puspal setuju untuk membenarkan mereka mengadakan konsert pada hari sama tetapi diawalkan ke pukul tiga petang," kata Puspal lagi.

Puspal adalah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang memberi kelulusan untuk persembahan artis dari luar negara.

Agensi itu mengulas kenyataan Raaghav Production yang antara lain berkata pihaknya hanya baru-baru ini dimaklumkan berkenaan larangan penganjuran persembahan selepas pukul 7.30 malam pada 31 Ogos 2019 kerana bertembung dengan sambutan Awal Muharam.

"Puspal dan Jakim membangkitkan isu penganjuran konsert selepas 7.30 petang akan mencetuskan rasa kurang senang di kalangan orang Islam yang boleh menyebabkan kontroversi kaum.

"Sebagai tanda hormat kepada sambutan Awal Muharam, dan untuk mendapatkan kelulusan agar persembahan diteruskan, kami hampir tiada alternatif selain mengawalkan waktu persembahan untuk mengelakkan insiden tidak diingini ketika persembahan itu," kata Raaghav Production di Facebook.

Puspal berkata, Raaghav Production telah setuju dengan perubahan waktu itu dan maka "tidak wajar mewujudkan persepsi kurang menyenangkan" bahawa waktu konsert diubah atas arahan pihaknya.

Agensi itu juga mendakwa Raaghav Production telah memulakan jualan tiket pada Mac iaitu sebelum permohonan dikemukakan kepada Puskal, berdasarkan makluman syarikat itu kepada Jakim dalam surat bertarikh 13 Ogos 2019.

"Penganjur tidak patut memulakan jualan tiket untuk sebarang acara sebelum kebenaran pihak berkuasa diperolehi, termasuklah surat sokongan daripada Puspal," katanya.

Kata Puspal lagi, pihak yang tidak mematuhi peraturan itu dan menjual tiket terlebih dahulu berbuat demikian atas risiko sendiri.

Selain konsert SP Balasubrahmanyam, konsert penyanyi Taiwan Bobby Chen di Stadium Melawati Shah Alam. Persembahannya diawalkan ke pukul 12 tengah hari dari jadual asal 7.30 malam.

Lihat Komen
ADS