Kes Metramac: Peguam sifatkan kenyataan Gopal berat sebelah
Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa kenyataan Hakim Mahkamah Rayuan, Gopal Sri Ram terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, ahli perniagaan, Tan Seri Halim Saad dan rakan kongsinya, Datuk Anuar Othman sebagai suatu yang " bahaya dan berat sebelah."
Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa kenyataan Hakim Mahkamah Rayuan, Gopal Sri Ram terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, ahli perniagaan, Tan Seri Halim Saad dan rakan kongsinya, Datuk Anuar Othman sebagai suatu yang " bahaya dan berat sebelah."
Peguam, Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Metramac Corporation Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa kenyataan Gopal itu:
1) tidak berasas dan tidak relevan
2) tidak disokong oleh bukti
3) mendatangkan kesan buruk kepada pelanggannya.
Oleh itu Peguam tersebut memohon Mahkamah Persekutuan mengenepikan penghakiman Mahkamah Rayuan yang memerintahkan Metramac membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings sebagai gantirugi untuk hak pengiklanan kerana ketiga-tiga hujah berkenaan sudah memadai untuk mengenepikan penghakiman itu.
"Kami berpendapat seluruh penghakiman oleh Mahkamah Rayuan itu telah dicemar oleh kenyataan yang terkandung dalam penghakiman itu. Oleh itu kami merasakan dengan berdasarkan hujah-hujah ini sahaja. perintah penghakiman itu boleh diketepikan."
"Kami mahu menunjukkan kenyataan berat sebelah terhadap ketiga-tiga mereka itu telah menimbulkan prejudis terhadap pelanggan kami"kata Shafee.
Metramac, pemilik konsesi Lebuhraya East-West Link dan Sungai Besi Expressway memohon penangguhan terhadap perintah penghakiman Mahkamah Rayuan itu bagi membenarkan rayuan mereka terhadap keputusan penghakiman 12 Januari lalu di mana syarikat itu diarahkan membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings sebagai gantirugi kerana melanggar kontrak hak pengiklanan didengar.
Kes ini menarik perhatian ramai kerana hakim Gopal di dalam penghakimannya telah menuduh Halim dan Anuar melesapkan RM32.5 juta daripada Metramac ketika mereka berada di bawah naungan Daim yang pada ketika itu menjadi Menteri Kewangan.
Kes ini sedang didengar di hadapan panel lima orang hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Seri Ahmad Fairuz Sheikh Ab Halim, Hakim Mahkamah Persekutuan, Pajan Singh Gill, Allaudin Mohd Sherif, Richard Malanjum dan Nik Hashim Nik Ab Rahman.
Dalam penghujahannya, Shafee mendakwa Gopal berlaku berat sebelah apabila "menuduh dan menghukum" Daim, Halim dan Anuar dan pada masa yang sama berlaku tidak adil terhadap Metramac.

