Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang gelandangan selepas dia mengaku bersalah memiliki pisau sepanjang 35cm tanpa kebenaran yang sah, minggu lepas.

Mohd Jamal Idris, 39, mengaku memiliki senjata itu di sebuah rumah di Jalan 3/89A, Off Jalan Cheras di Kuala Lumpur, pada 10 pagi, 20 Ogos lepas mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 22 Ogos lepas.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan oleh polis setelah dia didapati berkelakuan mencurigakan, yang kemudian membawa kepada penemuan pisau sepanjang 35 cm dalam miliknya yang diselit pada bahagian pinggang sebelah kiri.

Dalam rayuannya, Mohd Jamal yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara minimum kerana dia baru sahaja dibebaskan dari penjara pada 20 April lepas.

"Saya memohon maaf, saya tidak ada niat... Saya hanya tinggal bawah jambatan," kata tertuduh sambil menangis.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

- Bernama