Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBB lebih baik buat kerja mereka tahu saja, bidas Redzuan

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu fokus dengan skop tugasan mereka dan tidak terlibat dalam urusan negara ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan wakil PBB yang berkata usaha mewujudkan kereta terbang hanya akan membazirkan sumber dan masa untuk Malaysia.

“Komen mereka (PBB) mungkin memberi kesan kepada pendapat orang ramai tetapi mereka sepatutnya lebih baik meneruskan kerja yang mereka tahu sahaja.

“PBB sebaiknya tidak perlu terlibat dalam 'perniagaan' negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas lawatan ke Syarikat Kumpulan Datasonic di Petaling Jaya hari ini.

Memetik laporan The Malaysian Insight semalam, Pegawai Tertinggi PBB Prof Philip Alston berkata, kereta terbang tidak praktikal di Malaysia kerana negara ini kerap dilanda ribut dan ia juga akan menggunakan terlalu banyak bahan api fosil.

Sementara itu, Redzuan berkata, kementerian itu terbuka menerima pandangan daripada pihak yang membantah berkenaan projek kereta terbang namun Malaysia harus bergerak ke depan bagi bersaing dengan negara maju.

“Kami terbuka dengan pandangan orang ramai namun begitu kita juga kena bergerak ke negara maju.

“Kalau kita lihat negara China juga telah melampaui ekonomi dari yang mereka jangkakan,” katanya.

Kereta terbang merupakan ilham menteri tersebut, tetapi usaha itu dikritik kerana dianggap tidak realistik. 

Bagaimanapun Redzuan menjelaskan prototaip bagi usaha sama Malaysia-Jepun itu hampir 85 peratus selesai.

Prototaip kereta terbang tersebut sedang dibangunkan oleh Kumpulan Aerodyne dengan kerjasama rakan kongsi Jepun yang mana menteri itu berkata ia akan menjadi inisiatif sektor swasta.

Fokus juga penambahbaikan teksi

Dalam perkembangan berasingan, Redzuan berharap kerajaan memberi fokus kepada penambahbaikan teksi selain perkhidmatan e-kelui (E-hailing).

“Kerajaan perlu ada perubahan untuk selaraskan perkhidmatan teksi dan syarikat e-kelui.

“Kita kalau terlalu fokus pada syarikat e-kelui, ramai pembawa teksi yang sudah mengeluh, merintih dan marah,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga sudah memulakan langkah bagi membantu meningkatkan perkhidmatan teksi.

“Ada kaedah yang kita tengah kaji untuk beri perhatian yang lebih serta peluang sama kepada syarikat perkhidmatan teksi.

“Perkara ini kita akan lihat setakat mana boleh bantu agar perkhidmatan teksi boleh bersaing dengan syarikat e-kelui," katanya. 

Pada 21 Ogos lalu, kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan perkhidmatan teksi motosikal yang dikemukakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagaimanapun, menurut Redzuan, kabinet meminta Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan untuk menjalankan kajian lanjut berhubung pelaksanaannya, termasuk aspek peraturan dan pengambilan pekerja.

Lihat Komen
ADS