Akaun FB gelar pemimpin PH iblis, anjing ketot dilapor ke polis
Pegawai khas kepada anggota parlimen Shah Alam membuat laporan polis ke atas seorang pengguna Facebook kerana mengeluarkan kenyataan menghina beberapa pemimpin kerajaan dan ketua polis negara.
Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Osman Omar juga mendakwa pemilik akaun Facebook tersebut yang menggunakan nama 'Zaimi Geot'' turut membuat ugutan bunuh melalui akaun media sosialnya.
“Di dalam akaun Facebook beliau terdapat posting-posting berunsur fitnah, menghina pemimpin-pemimpin kerajaan, mengkafirkan pemimpin-pemimpin kerajaan, menghina ketua polis negara, menghina pegawai kanan polis dan ugutan bunuh.
“Saya memohon pihak polis melakukan siasatan terhadap laporan ini,” kata laporan polis dibuat Osman.
Laporan itu difailkan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Shah Alam pada jam 10.15 pagi tadi.
Turut disertakan adalah pautan dan salinan tangkap layar kepada hantaran-hantaran yang dibuat individu berkenaan.
Antaranya, tulisan berbunyi 'Dah jadi penjilat dah orang tua ni' pada pautan berita bertajuk 'Pasang Jalur Gemilang terbalik di sekolah tidak disengajakan: KPN"
Selain itu, individu berkenaan juga berkongsikan satu pautan berita mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusuf dengan disertakan tulisan berbunyi 'Sial ni lagi, oi diam la iblis'.
Tangkap layar lain menunjukkan individu berkenaan menghina Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dengan tulisan 'Anjing ketot diamlah kau' pada satu lagi pautan berita.
Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati akaun Facebook tersebut telah dipadamkan pemiliknya.

