Jabatan Perikanan pertahan tak senarai Yu sebagai spesis dilindungi
Jabatan Perikanan mempertahankan langkah Malaysia untuk tidak menyokong penyenaraian ikan Yu tertentu sebagai spesies dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (Cities).
Pada Sesi ke-18 Conference Of Parties (CoP18), Malaysia antara 40 negara yang membantah cadangan Mexico untuk melindungi spesies berkenaan, manakala 102 negara lain mengundi untuk menyokong.
"Pendirian Malaysia untuk tidak menyokong penyenaraian spesis Mako Sharks (Isurus oxyrinchus and Isurus paucus), Guitarfishes (Guitarfishes) dan Rhinidae SPP (Wedgefishes) di dalam mesyuarat COP18 Cities adalah berdasarkan kepada pandangan pakar-pakar Yu di rantau Asia serta syor daripada Jabatan Perikanan (DOF)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jabatan Perikanan berkata spesis berkenaan bukan "spesies yang disasarkan" sebaliknya adalah 'bycatch', yang bermaksud ia ditangkap secara tidak sengaja semasa tangkapan spesies tertentu.
Ia berkata penyenaraian dalam Lampiran II spesies yang dilindungi di bawah Cities sebelum ini telah dibincangkan di peringkat Asean untuk merumuskan pendirian bersama pada 30-31 Januari di Bangkok, Thailand.
"Susulan daripada perbincangan tersebut, pendirian negara-negara Asean dalam penyenaraian ini telah dibincangkan di Mesyuarat 15th Asean Working Group on Cities and Wildlife Enforcement yang telah diadakan pada 2-4 April 2019 di Sandakan, Sabah.
"Dalam mesyuarat berkenaan, majoriti negara Asean telah sebulat suara untuk tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh negara seperti Bangladesh, Benin, Bhutan, Brazil dan lain-lain," katanya.

