Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramai pengguna sedia sertai program kesetiaan organisasi berita

Satu kajiselidik yang dijalankan oleh Malaysiakini mendapati kebanyakan pengguna Malaysia bersedia mengambil bahagian dalam program ganjaran dan kesetiaan yang dianjurkan organisasi berita.

Secara keseluruhan, 87 peratus daripada responden berkata mereka akan mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan oleh saluran berita atau portal berita dalam talian.

Program-program ini adalah sebahagian daripada usaha lebih besar oleh pertubuhan-pertubuhan berita untuk mencari cara bagi meningkatkan interaksi dengan pembaca dan mewujudkan pembaca yang setia, dalam era hasil pengiklanan semakin mengecil dan keperluan untuk model perniagaan digital yang mapan.

Kajian itu dijalankan oleh syarikat penyelidikan pasaran Vase.ai dengan kerjasama Malaysiakini, dalam usaha mewujudkan program ganjaran dan kesetiaan kepada pembaca.

Projek ini dibangunkan dengan sokongan daripada geran Inisiatif Berita Google yang dimenangi Malaysiakini pada Mac tahun ini.

Kajian ini dijalankan untuk mendapatkan kefahaman mengenai tingkah laku pengguna Malaysia mengenai program ganjaran dan kesetiaan.

Menurut hasil kajian, tarikan paling besar program itu bagi majoriti responden (76 peratus) adalah untuk menebus mata untuk memperoleh faedah seperti penginapan hotel dan diskaun percuma.

Kaji selidik itu juga menunjukkan program ganjaran dan kesetiaan boleh mempengaruhi kesetiaan pengguna kepada jenama atau kedai tertentu.

Pertama, kebanyakan responden (85 peratus) berkata mereka bersedia membeli-belah di kedai dalam talian yang sama secara konsisten hanya untuk mengumpul dan menebus mata ganjaran.

Selain itu, lebih separuh daripada responden berkata mereka bersedia membeli-belah di kedai yang menawarkan barangan pada harga lebih tinggi, tetapi turut menawarkan ganjaran menarik yang relevan kepada mereka.

Terma dan syarat paling kerap adalah tempoh masa yang lama diperlukan untuk mengumpul mata; sebilangan besar mata diperlukan untuk menebus ganjaran; dan ganjaran yang hanya boleh ditebus dalam tempoh masa yang tertentu.

Aduan responden yang paling biasa adalah ganjaran bagi program ganjaran dan kesetiaan kehabisan stok; ganjaran yang mengambil masa lama untuk diperoleh; dan ganjaran yang mengubah terma dan syarat tanpa notis terlebih dahulu.

Majoriti daripada responden (92 peratus) berkata mereka telah mendaftar untuk program kesetiaan dan ganjaran dan telah menggunakannya.

Lebih separuh daripada responden berkata mereka kini mengambil bahagian dalam dua hingga tiga program.

Tiga bidang utama di mana responden telah mendaftar untuk program ganjaran dan kesetiaan di stesen minyak (69 peratus), diikuti oleh e-wallet (46 peratus) dan kedai runcit (36 peratus).

Kebanyakan responden mengetahui program tersebut melalui media sosial (61 peratus).

Cara kedua paling popular adalah mengetahui program berkenaan melalui keluarga dan rakan-rakan serta mendekati kedai atau jurual secara peribadi untuk menyertai program berkenaan.

Seramai 1,029 responden di Malaysia ditinjau dalam kajiselidik ini. 

Kira-kira suku daripada responden tinggal di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, manakala selebihnya dari negeri lain. Kebanyakan responden (73 peratus) berumur di bawah 40 tahun.

Responden diminta mengisi kaji selidik dalam talian antara 17 Julai dan 19 pada tahun ini. Mereka ditinjau oleh Vase.ai melalui kaedah pemasaran atas talian daripada pelbagai sumber dan ditapis terlebih dahulu.

Sampel responden yang mencerminkan statistik rasmi dipilih melalui algoritma yang menggabungkan pengagregatan berdasarkan kriteria ujian dan persampelan rawak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS