Pusat latihan disiasat lepas janjikan pinjaman k'jaan pada pelajar
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sedang menyiasat Pusat Latihan Aeronautik Bersekutu (AATC) yang kini menjadi perhatian susulan protes oleh pelajarnya berhubung kegagaln menyediakan pinjaman pendidikan yang dijanjikannya.
Dalam kenyataan hari ini, PTPK berkata AATC tidak berdaftar dengan agensi itu dan justeru tidak layak mendapat kemudahan pinjaman yang disediakannya.
Dengan itu, PTPK berkata pihaknya sedang menyiasat AATC mengikut Seksyen 72(1) Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004, berkenaan larangan mana-mana institut yang tidak berdaftar dengannya untuk mengiklankan mereka sebagai pusat latihan yang pelajarnya boleh mendapat pinjaman dengan PTPK.
Jika disabit kesalahan, ia akan membawa hukuman penjara tidak lebih enam bulan, atau denda tidak lebih RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
"Pihak pengurusan AATC tidak dibenarkan untuk menggunakan pinjaman latihan kemahiran PTPK sebagai janji kepada pelajar untuk mengikuti pengajian di pusat tersebut," katanya.
Pada 26 Ogos lalu, seramai tujuh pelajar pusat latihan itu ditahan polis selepas mengadakan demonstrasi selepas pihak pengurusan membuang dua pelajarnya atas sebab menubuhkan kesatuan pelajar.

Kesatuan itu ditubuhkan selepas pelajar tidak berpuas hati dengan AATC yang didakwa tidak menunaikan janji untuk mendapatkan pinjaman kerajaan serta memaksa pelajar membuat pinjaman bank.
AATC pula berkata penubuhan kesatuan itu tidak sah kerana pusat latihan itu tidak berada di bawah Kementerian Pendidikan dan melarang penubuhan kesatuan pelajar.
Bagaimanapun AATC semalam menarik balik pembuangan dua pelajar tersebut selepas pertemuan ibu bapa dengan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.
Selain itu difahamkan hasil mesyuarat itu juga memutuskan pinjaman pendidikan PTPK akan diusahakan kepada pelajar dalam masa terdekat.
PTPK dalam kenyataan ini berkata menteri dan pengurusan AATC sedang mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah itu.
Tetapi menteri telah mengingatkan agar pusat latihan tidak menjanjikan pinjaman PTPK kepada pelajar sebelum kelulusan peruntukan diberikan, katanya lagi.

