Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Omar anggap sekatan beri kuliah, ceramah cuma dugaan kecil

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz menyifatkan kekangan dihadapinya untuk menyampaikan kuliah agama atau ceramah di negeri tertentu masih cabaran kecil jika dibandingkan dengan ujian yang dilalui oleh orang lain.

Malah, beliau yang juga anak kepada bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata ujian yang didatangkan Allah sesuai dengan keimanan seseorang.

Dengan merendah diri, Nik Omar berkata, beliau cuma seorang ustaz kampung.

“Tak dibenar berucap ini sebenarnya terlalu kecil kalau nak dibandingkan dengan ujian yang dilalui oleh orang lain yang lebih teruk.

“Nabi Muhammad SAW sendiri pun, ujian dia sesuai dengan kekuatan iman dia.

"Jadi, saya ini ustaz kampung... kalau tak dibenarkan berucap di masjid, itu kecil sajalah,” katanya ketika ditemui Malaysiakini, di Putrajaya, semalam.

Nik Omar berkata demikian mengulas pengalaman dirinya yang dihalang berceramah di masjid dan surau di negeri kelahirannya - Kelantan - dan Terengganu.

Medan dakwah memang luas

Meskipun mempunyai pertalian darah secara langsung dengan Nik Abdul Aziz, PAS biasanya mengambil sikap keras dan memusuhi pemimpin Amanah yang didakwa mereka sebagai pembela DAP.

Untuk rekod, tidak seperti kebanyakan anak-anak Nik Abdul Aziz, Nik Omar memilih Amanah sebagai wadah politiknya. Beliau pernah menjadi calon parti itu - yang mewakili PH - dalam PRU lalu.

Belum sampai 10 hari selepas itu, slot tetap kuliah subuh Nik Omar yang ada di Masjid Pulau Melaka - yang lebih dikenali sebagai Masjid Tok Guru - juga digantikan.

Malaysiakini pada 18 Mei 2018 melaporkan, Nik Omar tidak lagi dibenarkan menyampaikan kuliah di situ seperti selalu, sebaliknya tugas itu diberikan kepada anak kelima Nik Abdul Aziz, Nik Abduh. 

Bagaimanapun, perlu dimaklumkan, bagi sesetengah kes larangan tersebut berkaitan dengan kebenaran atau tauliah yang dikeluarkan majlis agama Islam sesebuah negeri.

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, misalnya dilarang memberi kuliah atau ceramah di Selangor atas alasan tauliah.

Mengulas lanjut, Abdul Omar berkata beliau mengambil pendekatan positif apabila berdepan dengan sesuatu larangan menyampaikan kuliah atau ceramah agama.

“Sebenarnya medan dakwah ini terlalu luas. Saya juga lebih suka kita tak cari pertembungan.

“Kalau kita tahu pihak masjid tak benarkan, kita cari ruang lainlah. Masih banyak (ruang untuk saya berceramah menyampaikan kebaikan), terutamanya di agensi atau jabatan kerajaan pusat. Jadi kita kena bersifat terbuka dan kena sentiasa positif.

“Insya-Allah satu kita tak dapat, mungkin dua mungkin tiga tempat lain kita akan dapat,” katanya.


Baca 'Maahad Darul Anuar bukan Nik Omar yang punya'


Menurut Nik Omar larangan itu juga biasa bagi dirinya.

Katanya beliau meraikan kerencaman mentaliti berpolitik di negara ini yang mengenakan larangan kepada pendakwah tidak sealiran dengan sesebuah parti yang mengetuai kerajaan.

“Kita raikan mentaliti berpolitik, suasana yang wujud. Maknanya bukan mustahil (larangan boleh berlaku), bahkan bukan kali pertama.

“Telah ada sebelum ini ulama yang lebih masyhur, yang dihalang untuk menyampaikan ucapan hanya kerana berlainan pandangan dan kumpulan,” katanya.

Jelas Nik Omar, kegagalan golongan yang mahu membawa kebaikan belum diberi peluang oleh Allah menerajui sesebuah negeri atau negara banyak dipengaruhi oleh faktor mentaliti sebegitu.

“Sepatut dan seeloknya, orang yang nak memperjuangkan Islam mempunyai akhlak terpuji, contoh teladan terbaik untuk diikuti, ditiru oleh kumpulan atau pun golongan lain khususnya bukan Muslim,” katanya.

Tambah Nik Omar, beliau menghormati keputusan kerajaan negeri tertentu yang tidak membenarkan penceramah dari PH untuk berucap di negeri yang ditadbir mereka.

“Kita hormat keputusan tersebut sekiranya keputusan itu (dapat) menggambarkan kematangan sesebuah organisasi atau pun kerajaan.

“Tapi saya rasa dalam sebuah negara demokrasi kita sepatutnya memberi peluang yang sama rata seperti mana yang ditunjukkan oleh PH.

"Sepatutnya kerajaan negeri (yang bukan PH) perlu memberi peluang yang sama.

“Apa pun ia berkait dengan mentaliti, sebenarnya. Mungkin kita perlukan masa supaya suasana ini boleh berubah,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS