Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kelantan menegaskan Maahad Darul Anuar di Kota Bharu, yang mahu diambil alih mereka, bukan milik Nik Omar – anak bekas menteri besar Kelantan allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan ia milik organisasi keluarga itu, Keluarga Besar Nikmatillah.

“Sekolah itu bukan hak dia," ujar Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata demikian ketika ditanya mengenai status Nik Omar (atas) selepas pengambilalihan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) milik kerajaan negeri.

Beliau juga masih berahsia berkaitan nasib Nik Omar, yang kita berbeza pandangan politik dengan anggota keluarganya selepas meninggalkan PAS dan menyertai serpihannya AMANAH.

"Itu kita tengoklah macam mana, dia (Nik Omar) pun dilantik oleh Keluarga Besar Nikmatillah,” katanya.

Malaysiakini kelmarin melaporkan, YIK bersetuju mengambil alih pengurusan Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka yang diuruskan Nik Omar sebagai pengetua.

YIK dalam surat yang tular di media sosial berkata, mereka bersetuju menerima permohonan untuk menyerahkan pentadbiran sekolah itu,

YIK juga berkata akan menggunakan kokurikulum mereka bermula sesi persekolahan 2019.

Sambutan merosot, yuran tinggi

Bercakap kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini, Mohd Amar berkata sambutan terhadap sekolah itu kini merosot, antaranya disebabkan yuran yang tinggi.

"Pertamanya sebab yuran tinggi mencecah RM500, jadi orang kampung tak mampu. Selain itu kurikulum yang disediakan tak menepati kurikulum YIK dan kebangsaan.

"Jadi ibu bapa tidak yakin dengan masa depan (anak-anak), jadi mungkin keluarga melihat kepada (potensi) masa depan dan mencadangkan supaya YIK ambil alih semula pengurusan seperti sebelum ini," katanya.

Mohd Amar yang juga ahli lembaga pengarah YIK berkata, pihaknya berharap pihak pengurusan sekarang khususnya Nik Omar dapat memberi kerjasama demi kebaikan sekolah.

"Kita bersetuju untuk ambil alih, kerana tanah itu tanah wakaf yang diserahkan MAIK, dan mereka memberi kebenaran kepada YIK untuk mengurus dan mentadbir tanah untuk tujuan pendidikan.

"Kita berharap pihak pengurusan sekarang terutamanya Nik Omar boleh memberi kerjasama yang baik demi masa depan sekolah," katanya.

Nik Omar sebagai anak sulung Nik Aziz mengambil alih pentadbiran sekolah itu dari ayahnya.

Sekolah agama untuk pelajar tingkatan satu hingga enam itu diasaskan ayah Nik Aziz, Nik Mat Alim.

Lihat Komen
ADS