Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah merujuk pelajar PHD Nur Fitri Azmeer Nordin yang juga pesalah pedofilia di United Kingdom ke jabatan psikiatri.

Universiti itu berkata akan mengambil langkah pemantauan berterusan dan berkala terhadap Nur Fitri.

Unit Kaunseling UKM memaklumkan telah merujuk calon pasca siswazah bidang matematik itu ke Jabatan Psikiatri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM bagi melihat status kesihatan mental terkini pelajar tersebut.

“Kaunseling individu turut dijalankan bersama pelajar untuk memahami isu serta membantu pelajar memperbaiki diri dari aspek kesejahteraan psikologi.

“Setiap sesi yang dijalankan, laporan psikologi dan kesihatan mental pelajar akan diberikan kepada Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti untuk pemantauan dan mengambil langkah-langkah yang perlu.

“Sepanjang pengajian di UKM, Fakulti dan penyelia akan terus memantau aktiviti akademik pelajar,” kata universiti itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Pada Mei 2015, Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Dia didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah pornografi kanak-kanak, termasuk 601 imej "Kategori A" yang menggambarkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Nur Fitri kemudian menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sebelum kerajaan Malaysia membawanya pulang.

Menurut UKM lagi, selain bantuan kepakaran dalaman, bekerjasama dengan keluarga, agensi berkaitan serta pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilakukan dalam pemantauan tersebut.

Pada 23 Ogos, UKM berkata peluang yang diberikan oleh Nur Fitri untuk menyambung pelajarannya di peringkat siswazah doktor falsafah di situ kerana "keupayaan luar biasa dan kecemerlangannya dalam pengajian."