Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu Rohingya: Myanmar akan seret askar terlibat ke mahkamah tentera

GLOBAL |  Tentera Myanmar akan menyeret anggota pasukannya ke mahkamah tentera selepas penemuan baru dalam siasatan terhadap kekejaman di negeri Rakhine.

Pada 2017, lebih 730,000 umat Islam Rohingya melarikan diri daripada kempen ketenteraan yang dikatakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah dilaksanakan dengan "niat penghapusan bangsa" (genocide).

Sabtu lalu, laman web Ketua Turus Angkatan Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing berkata pihak mahkamah tentera yang melawat negeri di bahagian utara republik itu mendapati askar terlibat menunjukkan "kelemahan untuk mematuhi arahan dalam beberapa kejadian" di sebuah kampung yang dikatakan menjadi medan pembunuhan beramai-ramai masyarakat Rohingya.

Pada 2018, agensi berita Associated Press melaporkan kewujudan sekurang-kurangnya lima kubur Rohingya di kampung, Gutarpyin, di bandar Buthidaung.

Tetapi pegawai kerajaan pada masa itu berkata 19 orang "pengganas" telah mati dan mayat mereka telah "dikebumikan dengan penuh tertib".

Siasatan rahsia

Pada hari Ahad, jurucakap tentera Myanmar, Tun Tun Nyi memberitahu Reuters, hasil siasatan tersebut adalah rahsia.

"Kami tidak mempunyai hak untuk mengetahui mengenainya.

"Mereka akan mengeluarkan satu lagi kenyataan mengenainya apabila prosedur itu selesai," katanya melalui telefon.

Mahkamah tentera itu yang terdiri daripada seorang mejar jeneral dan dua kolonel telah dibentuk pada bulan Mac lalu.

Ia untuk bertindak balas terhadap tuduhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kumpulan hak asasi manusia Amnesty International dan Human Rights Watch yang mendakwa pasukan keselamatan Mynamar melakukan pembunuhan beramai-ramai, rogol dan pembakaran terhadap Rohingya.

Mahkamah tentera itu telah melawat Rakhine sebanyak dua kali pada Julai dan Ogos ini.

Tentera Myanmar telah melancarkan serangan mereka di Rakhine sebagai tindak balas terhadap beberapa serangan oleh pemberontak Rohingya terhadap pos keselamatan berhampiran sempadan Bangladesh.

Tahun lalu, misi pencari fakta PBB berkata kempen ketenteraan itu telah dirancang dengan "maksud penghapusan bangsa" dan mengesyorkan supaya Min Aung Hlaing dan lima jeneral lain dikenakan peruduhan dengan "jenayah paling berat di bawah undang-undang antarabangsa".

Myanmar menafikan tuduhan itu, walaupun Min Aung Hlaing berkata pada bulan lepas sejumlah anggota keselamatan mungkin terlibat

Siasatan ketenteraan sebelum ini pada 2017 telah melepaskan pasukan keselamatan itu daripada sebarang jenayah.

Myanmar sedang berhadapan desakan antarabangsa untuk mengambil tanggung jawab terhadap kempen ketenteraan di Rakhine itu.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah membuka pemeriksaan awal terhadap keganasan tersebut.

Sementara itu, Myanmar pula telah membentuk sebuah panel siasatan yang turut dianggotai diplomat Filipina, Rosario Manalo dan bekas utusan khas Jepun ke PBB, Kenzo Oshima.

Penel ini masih belum membentangkan hasil dapatannya.

[Baca berita asal]

(Laporan oleh Poppy Elena McPherson; suntingan oleh Clarence Fernandez)

Lihat Komen
ADS