Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Institusi diraja telah menghantar isyarat jelas. Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak sempena sambutan Maal Hijrah 1441 mudah difahami.

Mereka menyuarakan tentang perlunya perpaduan dan keharmonian dipelihara secara serius oleh semua pihak.

Kesejahteraan dan keamanan rakyat mesti dikekalkan. Pemimpin politik jangan mengajak rakyat meniup bara perkauman atau bermain api dalam isu sensitif, termasuk perkara berkaitan agama.

Tanpa berselindung titah Sultan Nazrin Shah misalnya turut menzahirkan kebimbangan baginda tentang suhu politik yang semakin panas selepas PRU14.

Jika institusi diraja sendiri telah menghantar isyarat jelas, ternyata ada kebimbangan sebenarnya dengan senario politik mutakhir di negara ini.

Sebagai payung negara, peringatan Agong dan Sultan Perak itu mesti dihormati dan dipatuhi terutama oleh pemimpin politik dan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Kawal emosi kita. Jaga tutur kata dan awasi tingkah laku. Jangan bagai kaduk naik ke junjung. Jangan sampai apa yang kita lakukan mencolok mata.

Hargailah kesejahteraan dan keharmonian sesama kita. Peliharalah perpaduan yang menjadi teras keamanan selama ini. Letakkan akal di hujung lidah sebelum bicara.

Ingatan ini juga dihantar kepada pelampau kaum, pelampau agama dan pelampau politik di sekeliling kita. Jangan bertindak rasis kerana dendam dan kekecewaan politik.

Kita harus mengakui bahawa pola politik yang asalnya dulu meletakkan kepentingan negara di tempat paling atas kini bertukar menjadi platform menghimpunkan pengikut berdasarkan puak.

Lupa pada usaha bina negara

Kita seolah-olah tidak bersyukur atas nikmat kemerdekaan yang telah dicapai. Jasa pemimpin terdahulu seakan diabaikan demi memburu kepentingan puak dan tembolok sendiri.

Kita semakin lupa tanggungjawab untuk menjaga dan mengisi makna kemerdekaan yang telah dicapai itu.

Kita fikir kemerdekaan yang dicapai selama ini begitu mudah. Akhirnya kita lupa pada usaha dan agenda lebih penting iaitu membina negara. Kita sibuk dengan perkara yang boleh menyalakan api persengketaan.

Imbaulah sejenak pengorbanan pejuang terdahulu. Lupakah kita pengorbanan mereka terutama pada fasa awal mengisi kemerdekaan?

Seramai 1,865 anggota keselamatan kita terkorban dan 2,560 yang lain tercedera. Dalam tempoh 12 tahun sehingga Julai 1960, 2,473 orang awam terkorban, 1,385 yang lainnya cedera dan 810 orang hilang tanpa dikesan.

Lupakah kita pada peristiwa 13 Mei? Lupakah kita peristiwa balai polis Bukit Kepong di Johor dan balai polis Kuala Krau, Pahang diserang komunis sehingga mengorbankan banyak nyawa pejuang?

Begitu juga beberapa peristiwa berdarah lain yang tertulis dalam lipatan sejarah. Itulah harga yang telah dibayar dalam berjuang untuk mengekalkan keamanan demi sebuah kemerdekaan.

Kembali bersatu

Kini tanpa sedar kita biarkan bunga-bunga sengketa kembali mekar. Kita gadaikan keharmonian demi kepentingan politik dan kaum. Tembolok dan kepentingan diri kita biarkan bertanjak dalam hati.

Perpaduan antara kaum yang menjadi teras perpaduan selama ini semakin longgar. Kita cepat hilang sabar dan rasional pun ghaib. Marah dan dendam kita luahkan secara terbuka tanpa batas.

Kita sudah pandai berboikot untuk melepas geram. Sedangkan realitinya, kita gagal memboikot semua provokasi, manipulasi dan eksploitasi yang boleh menjahanamkan masa depan kita.

Kalaulah Mat Kilau, Dol Said, Tunku Abdul Rahman, Tun Sambanthan atau Tun Tan Cheng Lock masih hidup tentunya mereka kecewa melihat cara kita mengisi dan melakari makna kemerdekaan hari ini.

Mereka mendapatkannya dengan susah payah, tapi kita pula bersikap ambil mudah.

Mengambil semangat menyambut kemerdekaan dan hijrah ini, marilah kita - Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain sebagai warganegara - menoleh sejenak ke belakang.

Kenanglah jasa generasi terdahulu. Cara mudah untuk menghargai mereka adalah dengan kita kembali bersatu. Elakkan persengketaan atau salah faham dengan sabar dan bertolak ansur.

Pemimpin politik pula harus mempunyai keberanian untuk memastikan isu sensitif ditangani tanpa perlu rasa apologetik dan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang melampau. Sayangi Malaysiaku.


A HAMID KARIM ialah bekas wartawan dan pemenang Anugerah Kajai.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Lihat Komen
ADS