Polis panggil beberapa lagi individu susulan gangguan sistem KLIA
Pihak polis akan memanggil beberapa lagi individu untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan insiden gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada minggu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, setakat ini polis telah mengambil keterangan lapan individu termasuk empat jurutera perisian bahagian teknologi maklumat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
"Siasatan masih dijalankan. Kita akan panggil lagi beberapa individu untuk bantu siasatan. Proses ini memakan sedikit masa dari segi teknikal dan sebagainya," katanya lapor Sinar Harian.
Pada 22 Ogos dilaporkan, sebanyak 20 penerbangan ditangguh selepas kedua-dua terminal KLIA mengalami gangguan sistem sementara.
Pada 30 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan Antony Loke berkata insiden tersebut merupakan isu besar yang perlu disiasat dan semua pihak termasuk pengendali lapangan terbang diminta tidak membuat apa-apa andaian.
Loke meminta semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis dan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA menjalankan siasatan terhadap insiden itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataannya pada 26 Ogos lalu tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA disebabkan perbuatan berniat jahat.

