Kes Zakir Naik: Polis tunggu arahan lanjut AGC
Polis masih menunggu keputusan dan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung siasatan ke atas pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.
"Isu Zakir yang mendakwa bangsa India di Malaysia tidak menyokong perdana menteri Malaysia disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan beberapa saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan.
"Kertas siasatan telah ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara dan sehingga kini masih menunggu keputusan dan arahan lanjut," kata Pengarah Siasatan Jenayah Huzir Mohamed dalam kenyataan media hari ini.
Huzir berkata polis juga sudah merakam keterangan daripada beberapa saksi berhubung kenyataan Zakir yang dikatakan meminta kaum Cina keluar dari negara ini. Siasatan dijalankan di bawah seksyen sama.
Zakir dilapor membuat kenyataan itu dalam sebuah program di Kelantan, bulan lalu.
Selain itu, dalam program sama, Zakir juga dilapor berkata masyarakat India di Malaysia lebih percaya kepada kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pendakwah dari India itu mendakwa kenyataannya dipetik di luar konteks.
Sementara itu, Huzir berkata polis juga membuka siasatan berhubung lima individu yang didakwa membuat kenyataan menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap Zakir.
Menurut Huzir, beberapa saksi telah dipanggil memberi keterangan dan kes akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk nasihat dan arahan lanjut.






