Putrajaya dalam peringkat akhir selaras harga ubat
Putrajaya dalam peringkat akhir mengenal pasti mekanisme untuk menyelaraskan harga ubat bagi memastikan ia pada kadar berpatutan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Ekonomi Saifuddin Nasution Ismail.
"Kementerian Kesihatan sedang menyenaraikan jenis-jenis ubat, yang dia nak letakkan kadar harga, harga berpatutan.
"Menteri Dr Dzulkefly Ahmad sedang meneliti, nanti dia akan buat pengumuman," katanya pada sidang media selepas karnival jualan i-Keep di Kuala Lumpur hari ini.
"Saya difahamkan bahawa Kementerian Kesihatan dalam peringkat akhir menentukan mekanisme untuk menyelaraskan harga ubat," tambahnya.
Pada Nov 2018, Dr Dzulkefly mengumumkan bahawa harga ubat akan dikawal melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.
Saifuddin berkata, kementeriannya, dengan 2,300 pegawai penguatkuasa, akan menjalankan penguatkuasaan untuk mengawal harga ubatan sebaik kawalan harga itu diperkenalkan.







