Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan dakwaan Dong Zong 'rasis' dirujuk ke pejabat AG
Diterbitkan:  Sep 2, 2019 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Kertas siasatan berhubung dakwaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai rasis akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihak polis telah mengambil keterangan daripada Pengerusi Dong Zong Tan Tai Kim, Setiausahanya, Ng Chai Heng dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Dr Mahathir sebelum ini melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana menentang segala usaha kerajaan menggalakkan perpaduan kaum selepas mendakwa langkah memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah venakular sebagai satu bentuk "Islamisasi".

Mengenai isu tulisan blog pengasas Gamuda Bhd, Koon Yew Yin yang dianggap menghina Angkatan Tentera Malaysia, Huzir berkata polis telah merakamkan kenyataan taikun bekenaan.

Katanya, pihaknya kini sedang menunggu laporan dan analisis digital daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Kami masih menyiasat perkara itu dan telah merampas beberapa peranti digital yang digunakan oleh Koon dalam membuat kenyataan itu," katanya menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.

Selain itu, Huzir juga berkata pihak polis telah merakam keterangan daripada Exco Pemuda Umno Wan Azrai Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

Ini berikutan kenyataan  Wan Azrai mengenai kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang meninggal dunia akibat pergaduhan di lebuh raya Kuala Lumpur -Seremban bulan lalu.

Huzir juga mengingatkan agar rakyat Malaysia supaya tidak memainkan isu yang menyentuh sensitiviti kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak mengikut undang-undang terhadap sesiapa yang cuba untuk bertindak dalam apa-apa cara yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya. 

Lihat Komen
ADS