Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Program Zakir Naik di Melaka tetap terus - Exco
Diterbitkan:  Sep 2, 2019 8:53 PM
Dikemaskini: 3:31 PM

Pengerusi Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen tetap dengan keputusan untuk meneruskan program bersama pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

“Walaupun mendapat tekanan hebat daripada mana-mana pihak, saya tetap bertekad untuk meneruskan program ini dan keputusan meneruskan program ini adalah muktamad.

“Dr. Zakir Naik sudah pun mengesahkan kehadiran beliau ke Masjid Cina Sabtu ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Rafiq merupakan pengerusi Masjid Cina Krubong, tempat majlis bersama pendakwah tersebut bakal berlangsung berkata penganjuran program itu tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah aktiviti keagamaan.

“Penganjuran program ini sepatutnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana program ini adalah program Ibadah keagamaan dan bukan program politik.

“Program ini juga bukan dianjurkan oleh kerajaan mahu pun parti politik sebaliknya dianjur oleh Masjid Cina Melaka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa polis Melaka tidak mempunyai halangan terhadap program bersama pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik pada 7 September nanti.

Ketua Polis Negeri, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ini kerana program tersebut hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.

Sementara itu, Rafiq yang turut merupakan ahli majlis tertinggi Bersatu menjelaskan jemputan pendakwah tersebut bukan untuk memberi ceramah malah hanya untuk program beribadah.

“Polis dan kerajaan Melaka hanya melarang Dr. Zakir Naik berceramah dan bukannya melarang beliau hadir program ibadah seperti solat fardhu berjemaah dan ibadah sunat yang lain.

“Saya juga telah memaklum kepada Ketua Menteri Melaka tentang hasrat saya menjemput Dr Zakir Naik Ke Melaka dan beliau tiada halangan terhadap kedatangannya ke Melaka asalkan tidak melibatkan ceramah seperti saranan pihak Polis,” katanya.

Terdahulu poster program yang dinamakan "Malam Islam Bersatu" tersebar di media sosial dan menjadi persoalan susulan kontroversi melibatkan Zakir sebelum ini.

"Moga majlis ini berjalan lancar, dipermudahkan, diberkati dan dilindungi Allah SWT. Amin," kata Mohd Rafiq menerusi Facebook.

Pada 19 Ogos lalu dilaporkan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari mengumumkan bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan Zakir berceramah di negeri itu.

Penganjuran program itu turut dipertikai oleh Adun Keroh, Kerk Chee Yee yang menggesa semua pihak di Melaka mengikuti semangat daripada keputusan ketua menteri untuk mengharamkan ceramah oleh Zakir.

Kerk yang juga exco komunikasi, multimedia, NGO, pembangunan belia dan sukan berkata walaupun Zakir tidak berceramah pada majlis itu, beliau merupakan individu yang menimbulkan kontroversi antara masyarakat Malaysia.

Malaysiakini telah menghubungi Adly untuk mendapat penjelasan, namun belum menerima maklum balas mengenai program Zakir di Masjid Cina Krubong itu.

Lihat Komen
ADS