Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan takkan sekat Zakir hadiri majlis keagamaan - Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak akan menghalang pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik daripada menghadiri sebarang majlis keagamaan.

"Kita tak akan mengawal beliau 100 peratus (kerana beliau) tidak berbuat apa-apa.

"Kalau nak sembahyang, nak hadiri majlis, sesiapa pun tak boleh sekat dan halang," katanya kepada wartawan di Putrajaya.

Beliau diminta mengulas mengenai program bersama pendakwah berkenaan di Masjid Cina di Krubong, Melaka pada Sabtu ini.

Semalam, Ketua Polis Melaka Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis tidak ada halangan terhadap kehadiran Zakir kerana program itu hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah.

Zakir dilarang daripada menyampaikan ucapan di seluruh negara sementara menunggu siasatan polis terhadapnya termasuk kenyataan kontroversi terhadap penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia semasa satu ceramah di Kelantan pada 3 Ogos.

"Saya diberitahu kedatangan Zakir Naik ke Melaka dan kedatangan beliau untuk menyertai solat. Dia tak berucap pada jemaah di sana.

"Ketua Polis Melaka beritahu atas sebab itu Zakir Naik dibenar mengambil bahagian dalam program itu seperti biasa. Itu maklumat yang saya dapat, sebab itu dia dibenarkan untuk hadir," kata Muhyiddin.

Baru-baru ini, poster program berkenaan yang memaparkan gambar Zakir dan pengerusi Masjid Cina, Mohd Rafiq Naizamohideen beredar di media sosial.

Rafiq juga merupakan exco perindustrian, perdagangan dan pelaburan negeri Melaka serta anggota Majlis Tertinggi Bersatu. 

Lihat Komen
ADS