Pele Peter Tinggom hari ini mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baru di hadapan Speaker DUN, Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Anak kelahiran Saratok itu adalah lulusan Sarjana dalam Undang-undang (Dengan Kepujian) dari Aglia Ruskin University, United Kingdom pada 1996 dan Diploma Pengurusan (Eksekutif) dari Institut Pengurusan Australia di Western Australia University pada 2002.

Beliau yang mempunyai pelbagai pengalaman dan kemahiran sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Setiausaha DUN dari 2011 hingga 2015.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Asfia berkata berkhidmat di DUN Sarawak bukanlah perkara yang asing lagi bagi beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Parlimen sejak 2009.

“Dengan pengalaman yang beliau miliki, saya memberikan kepercayaan penuh kepadanya kerana saya pasti beliau mampu melakukan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin,” katanya semasa berucap selepas majlis Angkat Sumpah bekenaan di DUN Sarawak.

- Bernama