Seorang bapa dan anak lelakinya rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di kilometer 9.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR), malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Md Asri A. Wahab berkata pada kejadian 11.50 malam itu, mangsa Muhd Ridzo Fadzly Rosely, 37, dan anaknya Ahmad Ariffin Muhd Ridzo Fadzly yang berusia dua tahun maut di tempat kejadian.

Md Asri berkata siasatan awal mendapati kereta Proton Persona yang dipandu Muhd Ridzo Fadzly dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Kedah dipercayai hilang kawalan sebelum terlanggar dan terperosok di bawah treler, yang bergerak di hadapannya.

"Akibat kemalangan itu, mangsa bersama anaknya yang merupakan penumpang hadapan tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri dan seorang lagi anaknya cedera parah," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat manakala kedua-dua mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Md Asri berkata pemandu treler yang berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama